fb fb fb fb fb

150 etnik Rohingya dikesan cuba lari masuk Malaysia

(Sebuah bot membawa puluhan pelarian Rohingya yang cuba masuk ke Malaysia telah dikesan
Tentera Laut Thailand pada 1 April 2018/AFP)

YANGON, 24 Mac- Seramai kira-kira 150 orang etnik Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak ditahan oleh pihak berkuasa Myanmar kerana disyaki cuba melarikan diri ke Malaysia.

Seorang pegawai memberitahu agensi berita AFP bahawa kesemua mereka ditahan di bandar Thanbyuzayat di selatan Myanmar.

"Mereka bersembunyi di dalam hutan berbukit antara dua kampung. Kami mula menahan mereka sejak lewat malam tadi selepas mendapat maklumat," kata sumber keselamatan itu.

Kumpulan minoriti berkenaan dilaporkan telah bergerak dari Rakhine menaiki bot dan merancang ke Thailand serta Malaysia melalui jalan darat.

Dalam operasi itu, beberapa orang suspek turut ditahan disyaki cuba memperdagangan mereka, dengan kira-kira 30 lagi individu diburu polis dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan.

Ribuan etnik Rohingya mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun dengan melakukan perjalanan berbahaya dari kem di Bangladesh dan Myanmar untuk sampai ke Malaysia dan Indonesia, susulan tindakan keras tentera Myanmar pada 2017.

Myanmar menghadapi tuduhan pembunuhan beramai-ramai di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikutan penghijrahan beramai-ramai itu. -AFP

(Sebahagian pelarian Rohingya yang berjaya mendarat di Aceh Besar, Indonesia
pada 16 Februari 2023/AFP)

 

Media Baharu