LONDON, 20 Februari- Pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II disahkan positif Covid-19 pada Ahad, namun baginda hanya mengalami simptom ringan.
Susulan itu, pembantunya mengesahkan baginda berhasrat untuk meneruskan tugas biasa di kediamannya di Istana Windsor pada minggu akan datang.
Pengumuman itu dibuat selepas putera sulung baginda, Putera Charles didiagnos positif Covid-19 pada 10 Februari lalu, dua hari selepas bertemu bondanya di Windsor yang menyambut jubli platinum yang menyaksikan baginda menduduki takhta paling lama di Britain pada awal bulan lalu.
"Istana Buckingham mengesahkan keadaan kesihatan Ratu Elizabeth II. Baginda akan terus diberikan rawatan perubatan dan mengikut kesemua garis panduan yang bersesuaian," ujar jurucakap istana berkenaan.
Sebelum ini, pihak istana pernah memaklumkan Ratu Elizabeth II, 95, sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19.
Difahamkan, beberapa kes jangkitan Covid-19 melibatkan kakitangan di Istana Windsor turut dilaporkan. -AFP