fb fb fb fb fb

Rangkuman konflik Rusia-Ukraine: Kiev dikepung, tiada perang dunia ke-3

(FOTO AFP)

KIEV, 12 Mac- Konflik Rusia dengan Ukraine menyaksikan Kiev, ibu negara Ukraine di kepung tentera Rusia, apabila kereta kebal Rusia mula bergerak masuk ke kawasan utara dan barat bandar itu.

Menurut tentera Ukraine, beberapa kawasan di pinggir bandar telah dibedil. Penasihat Presiden Mykhailo Podolyak menyatakan “bandar sedang ditawan”.

Berikut perkembangan terbaru pencerobohan Rusia di Ukraine.

-BARAT MENGGANDAKAN SEKATAN-

Amerika Syarikat dan sekutunya mengambil langkah untuk menamatkan hubungan perdagangan biasa dengan Rusia, membolehkan mereka mengenakan kadar tarif paling tinggi terhadap Moscow.

Washington mengumumkan sekatan terhadap produk laut Rusia, vodka serta mutiara dan bersama-sama dengan Kesatuan Eropah untuk menghentikan eksport barangan mewah ke Rusia.

Kanada pula mengenakan sekatan terbaharu terhadap oligarki Rusia termasuk Roman Abramovich.

-TIADA PERANG DUNIA KETIGA-

Presiden Joe Biden menolak sebarang campur tangan langsung oleh Amerika Syarikat untuk menghentikan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Biden memberi amaran bahawa langkah sebegitu; mahu campur tangan atau penglibatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk menentang Kremlin "adalah Perang Dunia III".

-TRAGEDI TIDAK DISANGKA-

Situasi di Mariupol, selatan Ukraine menyaksikan bandar Pelabuhan itu dikelilingi dan dibedil secara berterusan oleh tentera Rusia yang disifatkan pegawai tertinggi Doktor Tanpa Sempadan sebagai “amat terdesak”.

Beliau menggesa tindakan segera diambil untuk mengelak berlakunya “tragedi yang tidak boleh dibayangkan.”

Mariupol sudah terputus berkalan air dan elektrik sejak 11 hari lalu.

Menurut Datuk Bandar, kawasan mereka dibedil “setiap 30 minit” dan sudah 1,200 orang awam terbunuh selain turut menerima laporan penduduk kelaparan dan mayat bergelimpangan di jalanan.


(Gambar kenderaan perisai Tentera NATO diambil ketika latihan di Norway pada 10 Mac 2022/AFP)

-RUMAH PENJAGAAN DAN TADIKA DIBEDIL-

Sebuah bangunan pangsapuri dan kilang kasut dibedil ketika serangan udara pertama di pusat bandar Dnipro dengan tadika mengalami kerosakan teruk.

Menurut sumber rasmi kerajaan, sebuah rumah penjagaan untuk warga kurang upaya berhampiran Kharkiv juga dibom; ketika kejadian dihuni kira-kira 330 orang.

Rusia turut mengumumkan menghentikan tindakannya di lapangan terbang tentera Lutsk dan Ivano-Frankivsk, di barat Ukraine, berhampiran sempadan Poland.

-SEKATAN BESAR-BESARAN-

Pemimpin Kesatuan Eropah berharap tambahan €500 juta untuk sokongan ketenteraan di Ukraine dan sekatan besar-besaran terhadap Rusia, sekiranya Kremlin terus bertindak ke arah perang.

-PUTIN DIKECAM UPAH PEJUANG SYRIA-

Kremlin menyatakan pasukan bersenjata Syria boleh menyertai tentera Rusia di Ukraine selepas Presiden Vladimir Putin menyokong rancangan untuk mengambil 16,000 sukarelawan  kebanyakan mereka dari Asia Barat.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menuduh Moscow “mengupah ‘pembunuh’ dari negara yang telah mereka (Rusia) musnahkan seperti apa yang dilakukan di sini,”

-TELEGRAM DISEKAT, FB BENAR SEBAR KEBENCIAN-

Kira-kira 100,000 orang penduduk telah meninggalkan bandar Sumy, timur Izyum dan kawasan barat laut Kiev dalam dua hari terakhir selepas Rusia-Ukraine sepakat melaksanakan koridor kemanusiaan.

Rusia turut menyekat aplikasi Telegram, platform media sosial popular di Ukraine, mendakwa komunikasi media sosial itu digunakan untuk menghasut penduduk menyerang tenteranya.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Moscow mengecam keputusan Facebook membenarkan pengguna memuat naik status mengecam pencerobohan tentera Rusia dengan memberi amaran langkah itu hanya membangkitkan ucapan kebencian.

Pendakwaraya Moscow juga telah memulakan kes terhadap syarikat induk – yang memiliki Instagram -- kerana "menyebar gesaan pembunuhan” terhadap rakyat Rusia.

Bagaimanapun platform itu menyatakan, mereka hanya membenarkan kenyataan seperti “bunuh penceroboh Rusia” bukan terhadap orang awam.

-SENJATA BIOLOGI-

Majlis Keselamatan PBB mengadakan pertemuan selepas Rusia berkata senjata biologi dibangunkan di Ukraine, dakwaan yang dinafikan Washington dan Kiev.

Amerika Syarikat berkata ia petanda Moscow akan menggunakan senjata itu tidak lama lagi.

Sementara itu PBB melaporkan lebih 2.5 juta penduduk telah melarikan diri dari Ukraine, lebih separuh ke Poland. -AFP

Media Baharu