fb fb fb fb fb

Putera Mateen selamat diijab kabul dengan pilihan hati

FOTO RTBGO

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Januari- Putera Brunei, Abdul Mateen, selamat diijab kabul dengan tunangnya Yang Mulia Anisha Rosnah, hari ini.

Majlis akad nikah penuh adat istiadat itu diadakan di masjid berkubah emas di ibu negara Bandar Seri Begawan pukul 2.17 petang tadi.

Mateen ialah putera ke-10 kepada Sultan Hassanal Bolkiah raja paling lama memerintah dan pernah menjadi orang terkaya di dunia.

Sementara pengantin perempuannya merupakan cucu kepada salah seorang penasihat utama Sultan Brunei dilaporkan memiliki perniagaan berkaitan pelancongan dan jenama fesyen.

Putera Mateen, mengenakan persalinan baju melayu songket tradisonal bermotifkan bentuk berlian dan tengkolok sepadan dibawa ke masjid menaiki kereta mewah.

Baginda bersemayam di atas kusyen kuning tinggi di hadapan juru nikah yang mempengerusikan upacara nikah. Majlis dihadiri oleh sultan dan kerabat serta tetamu lain.

Usai akad nikah, Putera Mateen menghampiri ayahandanya dan mencium tangan.

Acara kemuncak perkahwinan diraja itu akan diadakan pada Ahad ini dengan upacara gilang-gemilang di istana negara.

Kerabat diraja dan pemimpin negara luar antara yang tersenai sebagai tetamu jemputan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE