fb fb fb fb fb

Protes di Nepal bantah projek baiyaan Amerika Syarikat


FOTO REUTERS

KATHMANDU, 21 Februari- Polis Nepal melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan membantah program infrastruktur dibiayai Amerika Syarikat (AS).

Menurut saksi, segelintir penunjuk perasaan cedera dalam pertempuran susulan protes terhadap program infrastruktur yang dijadual dibentangkan di Parlimen untuk ratifikasi, semalam.

Millennium Challenge Corporation (MCC), sebuah agensi bantuan kerajaan AS, pada 2017 bersetuju untuk menyediakan geran AS$500 juta (RM2.1 bilion) bagi membiayai kabel elektrik sepanjang 300 kilometer dan projek pembaikan jalan di Nepal.

Pegawai kerajaan berkata, geran itu tidak perlu dibayar semula dan datang tanpa syarat khusus.

Bagaimanapun, kumpulan yang membantah mendakwa perjanjian itu akan menjejaskan undang-undang dan kedaulatan Nepal.

Ini berikutan penggubal undang-undang tidak akan mempunyai kuasa pengawasan yang cukup terhadap lembaga pengarah projek infrastruktur itu.

Parti politik utama termasuk ahli gabungan pemerintah berbeza pendapat sama ada mahu menerima atau menolak wang geran berkenaan.

Kedutaan AS di Nepal menyifatkan geran MCC itu sebagai hadiah daripada rakyat AS yang melibatkan kerjasama antara dua negara bagi menyediakan peluang pekerjaan dan keperluan infrastruktur di Nepal, selain meningkatkan taraf hidup rakyat. -REUTERS

Media Baharu