fb fb fb fb fb

Presiden sementara Syria anjur dialog nasional, janji keadilan peralihan

Ahmed al-Sharaa/ Foto AFP

DAMSYIK, 31 Januari – Presiden sementara Syria, Ahmed al-Sharaa mengumumkan rancangan untuk mengadakan persidangan dialog nasional dalam ucapan pertamanya kepada negara selepas kejatuhan Bashar al-Assad.

Beliau yang dilantik sehari sebelumnya, menegaskan komitmen untuk mengekalkan keamanan sivil dan kesatuan wilayah Syria.

"Kami akan mengumumkan sebuah jawatankuasa dalam beberapa hari akan datang bagi mempersiapkan persidangan ini, sebagai platform untuk mendengar pelbagai pandangan mengenai masa depan politik negara," katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.

Selain itu, beliau juga akan mengeluarkan deklarasi perlembagaan sebagai rujukan undang-undang baharu serta berikrar untuk memburu penjenayah perang di dalam dan luar Syria.

Ucapan al-Sharaa disusuli dengan lawatan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, ke Damsyik, menjadikannya ketua negara pertama berbuat demikian sejak kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) menggulingkan Assad pada 8 Disember lalu.

Dalam pertemuan bersama al-Sharaa, Emir Qatar menekankan keperluan mendesak untuk membentuk kerajaan inklusif bagi memastikan kestabilan dan pembangunan semula negara.

Pelantikan al-Sharaa turut mendapat sokongan serantau, dengan Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman dari Arab Saudi menghantar ucapan tahniah.

Raja Jordan, Abdullah II, turut mendoakan kejayaan beliau dalam memimpin Syria dan berkhidmat untuk rakyatnya.

Di peringkat diplomatik, beberapa delegasi antarabangsa termasuk dari Rusia, Turki, Perancis, dan Jerman telah mengunjungi Damsyik untuk membincangkan fasa peralihan negara itu.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN