fb fb fb fb fb

Presiden Nigeria ketua baharu blok Afrika Barat

(Presiden baharu Nigeria, Bola Ahmed Tinubu/AFP)

BISSAU, 10 Julai- Presiden baharu Nigeria, Bola Ahmed Tinubu dipilih sebagai Pengerusi Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat (ECOWAS), menggantikan pemimpin Guinea-Bissau, Umaro Sissoco Embalo.

Bercakap dalam sidang kemuncak di sini selepas pelantikannya Tinubu berkata demokrasi adalah "bentuk kerajaan terbaik", walaupun "sangat sukar untuk diurus".

"Kita memerlukannya, untuk menjadi contoh kepada seluruh Afrika dan dunia," katanya. "Kita tidak akan membenarkan rampasan kuasa demi rampasan kuasa terus berlaku di Afrika Barat."

Tiga ahli ECOWAS, Mali, Guinea dan Burkina Faso telah mengharungi lima rampasan sejak 2020.

Presiden Suruhanjaya ECOWAS, Omar Alieu Touray menggesa junta pemerintah negara-negara terbabit supaya menghormati tarikh akhir yang dipersetujui untuk menyerahkan kuasa kepada pemimpin awam.

"Sekiranya gagal memenuhi tarikh akhir peralihan, sekatan besar boleh dikenakan," katanya.

Kesatuan Ekonomi dan Kewangan Afrika Barat (UEMOA) pada Sabtu lepas bersetuju menarik balik penggantungan keahlian Mali yang dikenakan sejak Januari 2022 berikutan kesediaannya untuk kembali kepada pemerintahan awam.

ECOWAS juga telah mengenakan pelbagai tindakan terhadap negara di wilayah Sahel itu, tetapi menariknya balik pada Julai 2022 selepas pihak junta bersetuju dengan peralihan Mac 2024.

Touray berkata ECOWAS telah menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk melihat pilihan keselamatan di Mali ketika PBB menghentikan misi pengamannya selama sedekad di sana.

“Suruhanjaya ini mempunyai 90 hari untuk membuat penilaian dan mengemukakan cadangan,” katanya.

Sejak 2012 Mali telah memerangi pemberontakan yang merebak ke Burkina Faso dan Niger.

Tinubu yang pada Mei lalu mengangkat sumpah sebagai presiden ekonomi terbesar Afrika berkata ahli ECOWAS akan meneruskan integrasi ekonomi "inklusif" pada tahun hadapan. -AFP

(Presiden Nigeria ketua baharu blok Afrika Barat)

Media Baharu