SEOUL, 12 Disember- Polis Korea Selatan memaklumkan telah membuka kertas siasatan terhadap laporan berhubung sekumpulan pelajar dari Uzbekistan yang telah dihantar pulang secara paksa oleh universiti mereka.
Seramai 23 pelajar kursus bahasa di Universiti Christian Hanshin telah diarahkan untuk menaiki sebuah bas dan telefon bimbit mereka dirampas pada 27 November, menurut agensi berita Yonhap Seoul.
Hanya semasa perjalanan, pelajar-pelajar berkenaan diberitahu bahawa mereka dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dan mereka mesti pulang ke daerah mereka kerana "kegagalan untuk memenuhi syarat untuk tinggal", tambah laporan itu.
22 pelajar terbang pulang ke Uzbekistan pada hari itu, manakala seorang lagi ditinggalakn kekal kerana masalah kesihatan, menurut Yonhap.
Universiti Hanshin berkata pelajar-pelajar itu gagal memenuhi keperluan visa untuk mengekalkan baki bank minimum 10 juta won ($7,621) selama sekurang-kurangnya tiga bulan.
Institusi itu berkata walaupun diberi amaran berulang kali, pelajar-pelajar tersebut tidak mengambil tindakan.
Seorang jurucakap memberitahu AFP bahawa universiti itu telah mencuba sedaya upaya untuk membantu kesemua pelajar berkenaan.
Menurut akhbar harian Korea Selatan The Hankyoreh, pelajar itu pada mulanya ditipu dan menaiki bas memikirkan mereka akan pergi ke "pejabat imigresen untuk mengambil kad pendaftaran asing mereka".
Pakar undang-undang memberitahu AFP bahawa universiti tidak mempunyai kuasa untuk menghantar pulang pelajar antarabangsa.-AFP