fb fb fb fb fb

Pertempuran Laut Merah, dua kapal minyak terkandas di perairan Houthi

Tangkap layar kapal FSO Safer di luar pantai Yaman/REUTERS

LONDON, 21 Mac- Dua buah kapal tangki yang mengandungi minyak dan sisa toksik terkandas di Laut Merah berikutan tembakan antara tentera laut Barat dan tentera Houthi.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali meminta untuk mengosongkan dan memindahkan kapal-kapal itu bagi mengelak tumpahan minyak dan sisa toksik.

Salah satu kapal berkenaan telah terkandas selama bertahun-tahun dan berada berhampiran pelabuhan Ras Issa. Ia merupakan lokasi tentera Houthi yang bersekutu dengan Iran melancarkan peluru berpandu ke atas kapal yang melalui Laut Merah selain menjadi lokasi sasaran peluru berpandu dari Amerika Syarikat.

Pada tahun lalu PBB mengetuai usaha untuk mengeluarkan sejuta tong minyak daripada kapal tangki reput, FSO Safer untuk dipindahkan kepada kapal tangki baharu, MT Yemen. Operasi itu menelan belanja $121 juta.

Menurut sumber yang tidak mahu dikenali berkata kepada Reuters, kedua-dua kapal itu tidak bergerak sejak Ogos kerana Houthi dan musuh mereka dalam kerajaan Yaman tiada keputusan berkenaan penerimaan wang daripada hasil minyak berkenaan.

Sumber itu juga berkata tidak ada perjanjian untuk menunda kapal tersebut.

Program Pembangunan PBB berkata ia sedang dalam perbincangan "dengan semua pihak yang berkaitan di Yaman" mengenai penyerahan kapal itu.

"(UNDP) tidak mempunyai sebarang petunjuk daripada pihak berkuasa de facto di Yaman tentang ancaman untuk merosakkan kapal itu dengan sengaja," kata jurucakap UNDP, merujuk kepada Houthi.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI