fb fb fb fb fb

Peranti dipasang 'perangkap' sebelum masuk ke Lubnan - Misi PBB

(Kiri) Serpihan pager yang meletup. (Tengah) Walkie-talkie yang dikeluarkan bateri susulan ancaman letupan alat peranti komunikasi. (Kanan) Serpihan walkie-talkie yang meletup/AFP

BEIRUT, 20 September- Pihak berkuasa Lubnan mendapati peranti komunikasi yang meletup minggu ini telah dipasang dengan 'perangkap' sebelum memasuki negara itu, menurut Misi Lubnan ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

"Siasatan awal menunjukkan peranti terbabit dipasang dengan 'perangkap' secara profesional sebelum tiba di Lubnan dan diletupkan melalui emel yang dihantar kepada peranti berkenaan," menurut pihak itu sambil menyatakan bahawa Israel adalah dalangnya.

Letupan yang mengorbankan 37 nyawa dan mencederakan hampir 3,000 orang dalam tempoh dua hari itu menyasarkan peranti komunikasi yang digunakan oleh kumpulan Hezbollah.

Dalam kejadian itu, alat pager dan walkie-talkie meletup ketika pengguna sedang membeli-belah di pasar raya, berjalan di jalanan dan menghadiri pengebumian hingga mencetuskan panik.

Misi Lubnan menyatakan serangan "belum pernah terjadi dengan kekejaman sebegini" itu telah menjejaskan usaha diplomatik untuk menghentikan pertempuran di Gaza dan selatan Lubnan.

Ia turut menggesa Majlis Keselamatan PBB mengecam serangan berkenaan menjelang sesi kecemasan yang jadual diadakan hari ini untuk membincangkan situasi tersebut.

Menteri Luar Lubnan Abdallah Bou Habib dijangka menghadiri mesyuarat itu, menurut sumber diplomatik. -AFP

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA