fb fb fb fb fb

Perang masuk bulan ke-4, Rusia perhebat serangan di wilayah Donbas

KIEV, 24 Mei - Tentera Rusia hari ini meningkatkan serangan mereka terhadap kubu terakhir penentangan di sekitar Luhansk di wilayah Donbas timur Ukraine, ketika konflik memasuki bulan keempat.

Sejak pencerobohan Moscow pada akhir Februari, sokongan Barat telah membantu Ukraine mengekang kemaraan tentera Rusia di banyak kawasan termasuk ibu kota Kiev tetapi Rusia kini memberi tumpuan untuk mendapatkan dan mengembangkan peguasaannya di Donbas dan pantai selatan.

“Minggu-minggu akan datang bakal menjadi sukar, dan kita mesti sedar tentang itu,” kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dalam ucapan hariannya malam tadi selepas pemimpin serantau dan penduduk melaporkan pengeboman hebat.

(Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky/AFP)

"Situasi pertempuran paling sukar hari ini ialah di Donbas," kata Zelensky, dengan bandar Bakhmut, Popasna dan Severodonetsk yang paling teruk terjejas.

Gabenor Luhansk, Sergiy Gaidai berkata Rusia telah menghantar beribu-ribu anggota tentera untuk menawan seluruh wilayahnya dan Severodonetsk berada bawah serangan besar-besaran.

Beliau juga memberi amaran kepada penduduk bahawa sudah terlambat untuk berpindah.

"Pada ketika ini saya tidak akan berkata: keluar, pindah. Sekarang saya akan berkata: tinggal di tempat perlindungan," katanya di Telegram. -AFP

Media Baharu