NEW YORK, 25 Jun- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, semalam mendakwa Israel menyebarkan maklumat salah mengenainya sepanjang perang lebih lapan bulan di Gaza.
"Saya telah mendengar sumber sama berkali-kali mengatakan saya tidak pernah menyerang Hamas, saya tidak pernah mengutuk Hamas, saya penyokong Hamas," kata Guterres pada sidang media mengenai integriti maklumat tanpa menamakan Israel.
"Saya telah mengutuk Hamas sebanyak 102 kali, 51 daripadanya dalam ucapan rasmi, yang lain dalam platform sosial yang berbeza. Kebenaran pada akhirnya sentiasa menang," katanya.
Duta Besar Israel untuk PBB, Gilad Erdan berkata kutukan oleh Guterres adalah "kata-kata kosong jika dibandingkan dengan tindakannya."
"Matlamat beliau adalah untuk membantu Hamas bertahan dalam perang ini. Kami mendapati amat keji bahawa setiausaha agung enggan mematuhi piawaian PBB dan melukiskan gambaran yang tidak betul mengenai peristiwa di lapangan," kata Erdan.
"Antonio Guterres adalah rakan sejenayah kepada keganasan dan harus meletakkan jawatan hari ini."
Hubungan antara PBB dan Israel telah lama terjejas dan bertambah buruk ketika perang Israel-Hamas.
Israel mendakwa PBB bersikap berat sebelah terhadapnya dan menuduh kakitangan PBB bekerjasama dengan Hamas dan kumpulan pejuang lain.
PBB sedang menyiasat beberapa dakwaan itu, tetapi berkata dalam banyak kes pihaknya masih belum menerima bukti daripada Israel.- REUTERS