fb fb fb fb fb

Perang Ukraine: Presiden Zelensky cabar PBB segera bertindak atau bubar

(Anggota keselamatan meninjau sebuah sekolah yang musnah
di Kramatorsk, wilayah Donbas pada 5 April 2022/AFP)

KIEV, 6 April- Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mencabar Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) supaya “bertindak segera” atau “bubar sahaja”, ketika menyampaikan ucapan kepada badan dunia itu.

Zelensky turut memainkan rakaman memaparkan mayat yang mengerikan termasuk kanak-kanak mendakwa adalah mangsa kekejaman Rusia.

Pemimpin Ukraine itu menyifatkan tindakan Rusia di Bucha dan bandar-bandar lain di Ukraine sebagai ‘pengganas’ merujuk militan Daesh.

Justeru, Zelensky menggesa Majlis Keselamatan PBB segera mengusir Rusia supaya keputusan menceroboh dan melancarkan perang terhadap Ukraine yang diputuskan Rusia sendiri - dapat dihalang.

Sementara itu, Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov menafikan dakwaan kekejaman itu. Menurut Lavrov penemuan mayat di Bucha adalah "provokasi" bertujuan untuk menggagalkan rundingan antara Moscow dan Kiev.

“Timbul persoalan: Apakah tujuan provokasi terang-terangan yang tidak benar ini? Kita seolah-olah diminta untuk mempercayai alasan itu bagi menggagalkan rundingan semasa," kata Lavrov dalam mesej video yang disiarkan di televisyen Rusia.

Mengenai proses pemindahan penduduk dari kawasan berisiko di Ukraine, Duta Besar Rusia untuk PBB, Vassily Nebenzia berkata lebih 600,000 penduduk telah dipindahkan dalam tempoh sepanjang konflik, menafikan dakwaan Kiev tentang pengusiran penduduk secara besar-besaran.

“Dan kita tidak bercakap mengenai sebarang paksaan atau penculikan, seperti pihak Barat nyatakan, tetapi (pemindahan) secara sukarela oleh penduduk sendiri, jelasnya Nebenzia kepada Majlis Keselamatan PBB.


(Duta Besar Rusia untuk PBB, Vasily Nebenzya ketika Persidangan
Majlis Keselamantan PBB pada 5 April 2022/AFP)

Dalam perkembangan sama, Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg berkata selepas pengunduran sebahagian besar tentera dari utara Ukraine, Moscow mengalihkan tumpuan untuk menawan keseluruhan wilayah Donbas di timur Ukraine bertujuan mewujudkan koridor untuk menakluki Crimea.

Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Politik dan Pembangunan Keamanan, Rosemary DiCarlo pula memberitahu kepada Majlis Keselamatan PBB berhubung dakwaan yang "boleh dipercayai" bahawa Rusia telah menggunakan senjata baharu yang dilarang sebanyak 12 kali di kawasan berpenduduk di Ukraine.

Berhubung sekatan, Britain telah membekukan aset berkaitan Presiden Rusia, Vladimir Putin  bernilai kira-kira AS$350 bilion, kata Setiausaha Luar Britain, Liz Truss ketika melawat Warsaw.

Katanya, tindakan itu bermakna "lebih 60 peratus daripada AS$604 bilion rizab mata wang asing" kini "tidak tersedia" untuk kerajaan Rusia.

Selain itu, Amerika Syarikat (AS) juga telah menyekat Moscow daripada membuat bayaran hutang menggunakan dana di bank-bank AS, menyebabkan Rusia gagal membayar hutangnya.

“Rusia mesti memilih antara menghabiskan baki rizab dollar yang ada atau mendapatkan pendapatan baharu," kata jurucakap Perbendaharaan AS kepada AFP.

Hari ini, AS, G7 dan Kesatuan Eropah (EU) dijangka mengenakan sekatan terhadap semua pelaburan di Rusia, sekatan baharu selepas pencerobohan tentera Rusia di Ukraine.

EU bercadang untuk mengenakan larangan import arang batu dan kemasukan kapal Rusia ke pelabuhan Eropah.

“Rusia telah melancarkan perang yang disifatkan amat kejam, juga terhadap penduduk awam Ukraine. Kita perlu mengekalkan tekanan yang kuat semasa tempoh kritikal ini," kata Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen.

Putin dalam reaksi balasnya berkata, Moscow akan memantau secara teliti tentang eksport makanan ke negara “musuh”.

Beliau merujuk isu “kekurangan bekalan makanan global” dan mahu negaranya berhati-hati dalam mengeksport barangan ke negara yang jelas memusuhi Rusia.

Sementara itu, Twitter akan memperkenalkan langkah baharu untuk akaun kerajaan Rusia bagi mengurangkan kesan propaganda rasmi daripada pihak kerajaan Rusia.

Moscow telah mengehadkan akses Twitter dan telah menyekat Facebook dan Instagram.

Di Mariupol, kerajaan Rusia berkata, tentera telah menembak jatuh dua helikopter kerana cuba memindahkan pemimpin batalion Azov dari Mariupol yang telah dikepung.

Selain itu, cadangan supaya tentera Ukraine meletakkan senjata seterusnya meninggalkan bandar itu (Mariupol) menggunakan laluan yang dipersetujui" ke wilayah bawah kawalan Kiev, juga telah diketengahkan.

Namun Ukraine "tidak mengendahkan" cadangan itu. -AFP

Media Baharu