fb fb fb fb fb

Penyingkiran karbon mesti meningkat empat kali ganda menjelang 2050 : laporan

Foto hiasan

PARIS, 5 Jun- Penyingkiran gas karbon dioksida (CO2) dari ruang udara diperlukan empat kali ganda bagi mangatasi pemanasan global menjelang 2050, kata para penyelidik pada Selasa.

Menurut kajian, hutan menyerap kira-kira 99 peratus daripada penyingkiran CO2 semasa.

Pada masa sama kumpulan penyelidik memberi amaran dan masih meneruskan kajian bagi memastikan teknologi baharu berupaya untuk menyedut CO2 dari ruang atmosfera.

Menurut edisi kedua laporan Universiti Oxford, kira-kira tujuh dan sembilan bilion tan CO2 perlu dikurangkan dari ruang atmosfesra menjelang 2050. Ia setelah menilai kepada pelbagai senario termasuk pengurangan pelepasan CO2.

Edisi pertama The State of Carbon Dioxide Removal melaporkan, dua bilion tan CO2 diserap melalui penghutanan semula. Jumlah itu amat sedikit sekiranya dibandingkan dengan 40 bilion tan yang dikeluarkan di seluruh dunia pada 2023.

"Di samping pengurangan pelepasan yang cepat", ia kekal sebagai "strategi mitigasi paling penting", bagi mengurangkan CO2 dari atmosfera seiring dengan objektif Perjanjian Paris, kata lebih daripada 50 penyelidik.

Sesetengah saintis juga merupakan sebahagian daripada Panel Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (IPCC), yang telah mengiktiraf keperluan untuk memerangkap CO2 dan mencapai "zero karbon".

Penghapusan CO2 baru-baru ini "dilihat semakin berkembang dalam penyelidikan selain kesedaran awam dan syarikat peneraju", kata laporan itu.

"Namun kini terdapat tanda-tanda kelembapan" disebabkan oleh politik dan kekurangan pembiayaan awam, kata pakar.

Mereka menyeru kerajaan untuk mewujudkan dasar yang akan meningkatkan pembangunan industri.

Menurut laporan itu, pasaran untuk penyingkiran karbon semakin berkembang berikutan permintaan korporat. Namun ia dilihat menjadi pertikaian disebabkan syarikat mengimbangi pelepasan CO2 membiayai projek pengurangan karbon.

Climeworks syarikat permulaan CO2 di Switzerland, mempunyai kemudahan penyimpanan karbon bawah tanah yang luas di Iceland. Ia merupakan syarikat yang mendapat manfaat daripada permintaan itu.

Dua lojinya kini menyimpan kira-kira 10,000 tan CO2 setahun dengan pembiayaan daripada pembiaya swasta dan penjualan kredit karbon.

Untuk mencapai sejuta tan, Climeworks berkata ia memerlukan beberapa bilion euro (dolar), begitu juga dengan syarikat baharu lain, tetapi laporan itu memberi amaran bahawa pembiayaan sedemikian sangat tidak memberi jaminan ketika ini.

Sehingga kini, hanya Amerika Syarikat mengumumkan pelan bernilai $3.5 bilion, khusus untuk memerangkap karbon.

Climeworks mengumumkan dalam satu kenyataan pada Selasa bahawa ia menyasarkan untuk mengurangkan separuh kos operasi penangkapan karbonnya menjelang 2030.

Ia berkata ia akan membuka kilang baharu di negeri Louisiana Amerika Syarikat pada 2027, menggunakan penapis yang lebih berkuasa.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI