fb fb fb fb fb

Penunjuk perasaan antikerajaan berarak desak Netanyahu letak jawatan

Penunjuk perasaan mendesak Benjamin Netanyahu meletakkan jawatan di luar kediaman Perdana Menteri Israel itu di Baitulmaqdis/ REUTERS

BAITULMAQDIS, 28 Jun- Penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di Baitulmaqdis dan ada yang berkumpul di luar rumah Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu semalam sambil menyalakan unggun api bagi mendesak peletakan jawatan pemimpin itu.

"Kami telah diabaikan, pilihan raya sekarang!" antara sepanduk yang dibawa penunjuk perasaan sambil melaungkan tuntutan supaya Netanyahu meletakkan jawatan, mengibarkan bendera dan memukul gendang disaksikan anggota polis yang berkawal.

Demonstrasi sebegini semakin kerap apabila perang di Gaza berlanjutan selain pertempuran dengan Hizbullah di Lubnan yang semakin meningkat, namun ia tidak mencapai tahap seperti setahun lalu apabila kerajaan Netanyahu cuba merombak sistem keadilan Israel.

Ribuan orang turut melaungkan sokongan mereka untuk mencapai perjanjian membebaskan kira-kira 120 tebusan Israel yang ditahan Hamas di Gaza.

Ketika matahari mula terbenam, penunjuk perasaan menyekat lalu lintas dan menyalakan unggun api besar di jalan Baitulmaqdis.

Bagaimanapun tiada laporan mengenai pergelutan serius dan polis tidak menggunakan meriam air untuk mengawal orang ramai seperti yang mereka lakukan ketika demonstrasi sebelum ini.

Gerakan protes masih belum mengubah landskap politik, dan Netanyahu masih menguasai majoriti di Parlimen.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI