fb fb fb fb fb

Pengundi di Michigan bawa kebimbangan mengenai Gaza ke pusat pengundian

Foto REUTERS

DEARBORN, 6 November - Pengundi di Michigan, antara negeri terpenting dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS), mula menuju ke pusat pengundian awal pagi Selasa bagi memilih presiden dan anggota Kongres yang baharu.

Proses pengundian di Michigan akan berlanjutan sehingga 8 malam waktu tempatan pada Selasa, dengan pengundi akan menentukan sama ada calon Demokrat, Kamala Harris, atau Republikan, Donald Trump akan ke Rumah Putih sebagai presiden ke-47 AS, lapor Agensi Anadolu.

Dalam pilihan raya yang dijangka bersejarah ini, komuniti Muslim di negeri terbabit tampil menyuarakan kemarahan mereka terhadap sokongan AS terhadap tindakan Israel di Gaza.

Jacklin Zeidan, seorang penduduk Dearborn berketurunan Palestin, berkongsi pandangannya mengenai pilihan raya ini, menyatakan bahawa ia bukan soal calon seperti Trump atau Harris, tetapi tentang masa depan dan perubahan dasar untuk komuniti.

"Banyak yang telah berlaku sepanjang tahun ini, dan saya rasa kerajaan kita bersekongkol (dalam pembunuhan beramai-ramai di Gaza), dan mereka tidak membuat keputusan berdasarkan kemanusiaan dan keamanan.

"Saya berpendapat semuanya berkisar pada kepentingan perang dan berapa banyak keuntungan yang boleh mereka perolehi ... daripada senjata dan sebagainya.

"Sebagai sebuah negara, sebagai warganegara Amerika, perlu memberitahu ahli politik ini bahawa kita tidak lagi berdiam diri dan kita meminta mereka semua bertanggungjawab, tanpa mengira parti," kata Zeidan kepada Anadolu.

Reajb, yang mengundi buat kali pertama dalam pilihan raya ini, menyatakan tiada yang lebih buruk daripada apa yang berlaku di Gaza dan dia mengundi calon parti ketiga sebagai tindak balas kepada pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza.

"Saya rasa adalah penting untuk semua orang mengundi, terutamanya, anda tahu, memandangkan semua yang sedang berlaku, dan saya rasa sangat penting untuk mengundi Parti Hijau dalam pilihan raya ini, kerana kita tahu kita tidak boleh mempercayai mana-mana parti untuk mewakili kita dan keperluan kita, terutamanya sebagai anggota komuniti Arab.

"Saya berharap kita dapat menghukum Parti Demokrat atas segala yang berlaku sepanjang tahun lalu, untuk menunjukkan kepada mereka bahawa kita tidak akan memberikan sokongan tanpa syarat, dan mereka tidak boleh menggunakan taktik menakut-nakutkan kita tentang Parti Republikan hingga membuat kita takut untuk tidak mengundi mereka," katanya.

Has Chero, seorang warga Arab Amerika, berharap suara komuniti Arab Amerika akan lebih didengari, terutamanya berkaitan isu-isu di Timur Tengah, seperti Gaza dan Lubnan.

Henry Ray, pula berkata bahawadia melihat komuniti Dearborn bersatu di kotak undi, berkata dia mengundi untuk Harris, tetapi situasi di Gaza menyebabkan masalah bagi ramai pengundi.

Ray berkata tinggal di 'key swing state' meletihkannya, memandangkan kehadiran calon-calon yang berterusan dan intensiti kempen pilihan raya.

Majoriti Muslim Amerika, terutamanya di Michigan, merasa dikhianati dan marah dengan sokongan tanpa syarat pentadbiran Biden terhadap Israel yang telah membunuh lebih 43,000 rakyat Palestin di Gaza sejak 7 Okt 2023.

Pada Selasa, rakyat Amerika memilih antara Demokrat Kamala Harris dan Republikan Donald Trump untuk jawatan presiden ke-47 negara itu. -BERNAMA

Trainee