FOTO AFP
Hampir enam bulan Taliban kembali, boleh dikatakan tidak ada penetapan khusus yang dilihat tegar, namun pihak berkuasa di peringkat wilayah telah memperkenalkan peraturan serta garis panduan yang menentukan cara wanita menjalani kehidupan harian.
-PEKERJAAN-
Taliban membenarkan wanita bekerja selagi mereka diasingkan daripada golongan lelaki.
Bagaimanapun, secara praktik, wanita secara efektif dihalang bekerja, khususnya dalam sektor awam dan sebahagian dalam sektor khusus lain seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Malah, wanita yang bekerja dalam sektor swasta mengadu diganggu ketika pergi dan balik dari pejabat manakala pasukan perisikan Taliban memang kerap mengadakan lawatan ke perusahaan komersial bagi memastikan pengasingan ketat dikuatkuasakan.
Puluhan ribu wanita menjadi penganggur selepas penguasaan Taliban, menggagalkan usaha kemajuan selama dua dekad mempelbagaikan aspek pekerjaan untuk wanita -- daripada polis hingga mahkamah.
-PENDIDIKAN -
Menurut Taliban, semua kanak-kanak perempuan berhak mendapat pendidikan, namun majoriti sekolah menengah; sekurang-kurangnya untuk umur 13 – 18 tahun, masih belum dibuka sejak Ogos tahun lalu.
Kenyataan rasmi terbaru menyatakan, semua pendidikan akan dimulakan pada hujung Mac nanti tetapi penghijrahan guru dan larangan lelaki mengetuai kelas perempuan bermakna agak sukar untuk mencapai sasaran.
Kebanyakan univerisiti swasta telah bermula, namun pengurusan berdepan masalah kekurangan pengajar. Kelas perlu diasingkan antara jantina dan tidak boleh ada percampuran lelaki dan wanita antara sesi pembelajaran.
Minggu lalu, beberapa universiti awam telah menyambung semula sesi pembelajaran namun berdepan kekangan sama, menyaksikana jumlah kehadiran pelajar perempuan yang rendah.
-KEBEBASAN PERIBADI–
Semasa pertama kali berkuasa, Taliban mewajibkan semua wanita memakai burka di tempat awam dan jika ingkar tindakan akan dikenakan oleh penguat kuasa.
Bulan lalu kementerian berkaitan memasang poster di sekitar Kabul mencadangkan wanita perlu memakai sekurang-kurangnya ‘hijab’ atau tudung kepala – tetapi dengan mesej gambar wanita memakai burka.
Salon kecantikan dan butik fesyen dikatakan berkembang pesat sebelum pengusaan Taliban, tetapi kini sebahagian besar ‘lenyap’.
Di Herat, patung peraga pakaian hanya boleh dipamerkan tanpa kepala dan papan iklan memaparkan bentuk manusia perlu diturunkan.
- SUKAN DAN BUDAYA -
Saluran televisyen telah diarah memberhentikan program drama dan sinetron lakonan wanita sementara wartawan wanita wajib memakai hijab apabila bersiaran.
Pegawai Kanan Taliban mengatakan adalah ‘tidak perlu’ untuk wanita terlibat dalam aktivit sukan, namun peraturan itu tidak dikeluarkan secara formal atas faktor tertentu termasuk penajaan program-program sukan.
Kebanyakan penyanyi, ahli muzik, artis dan jurugambar utama telah meninggalkan negara sejak Taliban kembali manakala mereka yang tidak sempat, ada yang bersembunyi atau kekal dengan profil diri rendah. -AFP