GAZA, 10 Januari- Pengintip Israel yang didakwa suspek utama kes pembunuhan seorang ahli akademik Palestin di Malaysia pada 2018, ditahan di Gaza, semalam.
Perkara itu dimaklumkan jurucakap Hamas, Iyad al-Buzom dalam satu satu sidang media di Gaza City.
Pada sidang media sama, Iyad mengesahkan suspek mengaku direkrut agensi perisik Israel Mossad yang kerap dikaitkan dengan banyak siri pembunuhan aktivis Palestin di luar negara.
Antaranya, pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Fadi al-Batsh ditembak mati berhampiran rumahnya di Kuala Lumpur, oleh dua lelaki bersenjata dipercayai ejen Mossad.
Meskipun keluarganya menuduh Mossad melakukan pembunuhan itu, Menteri Pertahanan Israel ketika itu, Avigdor Lieberman menafikan penglibatan Israel dalam kejadian itu.
Pada 1997, ejen Mossad juga dikaitkan sebagai dalang cubaan membunuh Ketua Politik Hamas, Khaled Meshaal di Yordania.
Malah, agensi perisikan Israel itu juga dipercayai terlibat kes pembunuhan Komander Tertinggi Hamas, Mahmud al-Mabhuh di sebuah hotel di Dubai, pada 2010. -AFP