SYDNEY, 14 Januari- Pihak berkuasa Australia menutup sembilan pantai di Sydney pada Selasa berikutan penemuan misteri bola putih dan kelabu yang terdampar di sepanjang pantai.
Antara pantai yang ditutup sehingga dimaklumkan kelak termasuk kawasan pelancongan terkenal seperti Manly dan Dee Why, menurut kenyataan Majlis Pantai Utara Sydney.
"Setakat ini, kebanyakan sampel dikenal pasti berukuran sebesar bola marmar, dengan beberapa yang lebih besar," kata kenyataan tersebut.
Pihak berkuasa tempatan dimaklumkan mengenai serpihan itu oleh Lembaga Perlindungan Alam Sekitar dan sedang membantu agensi negeri untuk mengumpul sampel bagi tujuan ujian.
"Majlis Pantai Utara Sydney sedang mengatur pembuangan bahan berkenaan dengan selamat dan turut memeriksa pantai lain," tambah kenyataan tersebut.
Pada Oktober lalu, objek berbentuk sfera sebesar bola golf ditemui di pantai Bondi dan Coogee yang terkenal.
Objek tersebut awalnya disangka ketulan tar tetapi pihak berkuasa kemudian menyatakan tidak pasti mengenai asal usulnya meskipun ia mengandungi pelbagai bahan termasuk asid lemak, minyak, rambut manusia dan bakteria. -AFP