fb fb fb fb fb

Penduduk China kian susut, kesan polisi satu anak

(FOTO AFP)

BEIJING, 2 Ogos- Jumlah penduduk China diramal mula menyusut menjelang 2025, kenyataan rasmi kerajaan kesan saiz keluarga yang semakin mengecil manakala jangka hayat juga semakin berkurangan.

Negara paling ramai penduduk di dunia itu kini berdepan krisis demografi yang semakin meningkat apabila berdepan dengan tenaga kerja yang semakin tua, pertumbuhan ekonomi perlahan dan pertumbuhan penduduk paling rendah dalam beberapa dekad.

Meskipun kerajaan melonggarkan ‘polisi satu anak’ pada 2016 dan tahun lepas membenarkan setiap pasangan mempunyai tiga anak, kadar kelahiran telah mencecah rekod paling rendah.

“Kadar pertumbuhan penduduk merosot dengan ketara, dan akan memasuki fasa tahap pertumbuhan negatif dalam tempoh 'Rancangan Lima Tahun ke-14'," kata Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) pada Isnin, merujuk tempoh antara 2021 - 2025.

Pada Januari lalu, pihak berkuasa menjangka kadar pertumbuhan penduduk memasuki kadar sifar “bahkan mencatat pertumbuhan negatif" dalam tempoh lima tahun itu.

“Ketika ini, sistem polisi negara bagi menyokong kelahiran tidak sempurna, dan terdapat jurang besar dengan pembangunan penduduk dan harapan rakyat,” kata NHC dalam laporan terbaharunya.

Kadar kesuburan telah merosot bawah 1.3 sejak beberapa tahun lalu, ketika negara menjangka untuk mamasuki tahap penuaan serius pada 2035 dengan lebih 30% penduduk berusia lebih 60 tahun.

Saiz keluarga juga menjadi semakin kecil, melemahkan fungsi pencen dan penjagaan kanak-kanak, kata NHC yang mahu penambahbaikan dalam aspek sokongan untuk membesarkan anak, dasar perumahan, pendidikan dan cukai bagi membantu mengurangkan beban keluarga.


(Sebuah keluarga bersama dua anak mereka di satu kawasan rekreasi
di Beijing pada 2 Ogos 2022/AFP)

Pihak berkusa di beberapa bahagian di China sudah memperkenalkan polisi mesra keluarga dalam usaha untuk menangani kadar kelahiran yang rendah.

Pada Isnin, pihak berkuasa bandar timur China, Hangzhou mengumumkan bahawa keluarga yang mempunyai tiga orang anak boleh membuat pinjaman 20% lebih tinggi daripada had maksimum pinjaman perumahan yang dibenarkan, dengan syarat ia permohonan pertama kali.

Bandar lain seperti Nanchang dan Changsha turut memperkenalkan polisi sokongan hampir sama.

Kos sara hidup tinggi dan peralihan budaya lebih selesa dengan jumlah keluarga kecil dikatakan menjadi punca utama disebalik kadar kelahiran bayi yang amat rendah.  

“Polisi satu anak” diperkenalkan pemimpin tertinggi Deng Xiaoping pada 1980 bagi mengatasi pertumbuhan penduduk serta menggalakkan pembangunan ekonomi, dengan beberapa pengecualian dibuat untuk keluarga luar bandar dan etnik minoriti.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menjangka pada November 2022, jumlah penduduk dunia akan mencecah 8 bilion orang dan India diramal mengatasi China sebagai negara paling ramai penduduk di dunia pada 2023. –AFP

Media Baharu