fb fb fb fb fb

Pemanasan global semakin meningkat : kajian

Foto hiasan

PARIS, 5 Jun- Pemanasan global telah meningkat pada kadar yang "tidak pernah berlaku sebelum ini", kata lebih 50 saintis terkemuka memberi amaran dalam kajian yang diterbitkan pada Rabu.

Melihat pada purata selama 10 tahun, suhu meningkat 0.26 darjah Celsius dari 2014 hingga 2023, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Earth System Science Data.

Dalam tempoh sama, purata suhu permukaan global mencapai 1.19 darjah Celsius melebihi penanda aras pada tahun 1850-1900 untuk mengukur pemanasan dunia.

Ia menandakan peningkatan daripada 1.14 darjah Celsius yang dilaporkan tahun lepas.

"Pemanasan yang disebabkan oleh manusia menunjukkan peningkatan pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini, " menurut kajian itu.

Kajian itu adalah sebahagian daripada siri penilaian iklim berkala yang dilakukan untuk mengisi jurang antara laporan Panel Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (IPCC) yang telah dikeluarkan secara purata setiap enam tahun sejak 1988.

Ia dibentangkan ketika diplomat dari seluruh dunia bertemu di Jerman minggu ini untuk rundingan iklim pertengahan tahun menjelang sidang kemuncak PBB COP29 pada November di Baku, Azerbaijan.

Perjanjian Paris 2015 terhasil daripada sidang kemuncak COP sebelum ini menyaksikan negara bersetuju untuk mengehadkan pemanasan global pada "jauh bawah" 2 darjah Celsius atas paras praindustri, sambil berusaha untuk mencapai had yang lebih selamat iaitu pada kadar 1.5 darjah Celsius.

Laporan pada Rabu mendapati, menjelang akhir tahun 2023, aktiviti manusia menjadi pendorong kepada peningkatan suhu 1.31 darjah Celsius melebihi paras praindustri.

Pemanasan Bumi secara semula jadi berlaku pada kadar 1.43 darjah Celsius, ia termasuk fenomena cuaca El Nino.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI