ROM, 29 April- Pelitup muka kekal diwajibkan kepada pengguna pengangkutan awam selain di beberapa tempat tertutup sehingga 15 Jun, kata Menteri Kesihatan pada Khamis.
Itali antara negara paling teruk dilanda COVID-19 telah menangguhkan penamatan sekatan pandemik.
Pelitup muka masih diperlukan untuk memasuki pawagam, teater, acara dalaman dan hospital, kata Menteri Kesihatan Roberto Speranza, sambil menambah kerajaan berhasrat untuk berhati-hati dalam menarik balik langkah sekatan yang masih ada.
"Kami memutuskan untuk mengekalkannya buat sementara waktu, sekurang-kurangnya sehingga 15 Jun, langkah berhati-hati yang saya percaya ia perlu dilaksanakan," kata Speranza.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan sijil kesihatan yang membuktikan vaksinasi atau pemulihan daripada coronavirus tidak lagi diperlukan untuk mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan, termasuk restoran, gimnasium dan pengangkutan awam, mulai 1 Mei.
(FOTO AFP)
Itali adalah negara Barat pertama yang dilanda penyakit itu dan setakat ini mencatatkan 163,244 kematian, jumlah kelapan tertinggi di dunia.
Ia menyaksikan jangkitan menurun pada separuh pertama April tetapi menurut laporan oleh badan pemikir Itali, Gimbe kes COVID-19 meningkat semula dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Kira-kira 84 peratus orang Itali menerima dua dos vaksin yang disyorkan, manakala lebih 65 peratus menerima suntikan dos penggalak. -REUTERS