fb fb fb fb fb

Pelosi selamat tiba di Taiwan, China mahu lancar ‘serangan bersasar’

(FOTO AFP)

TAIPEI, 3 Ogos- Tanpa menghiraukan ancaman China, Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi selamat mendarat di Taiwan.

Pelosi, individu ke-2 terpenting dalam barisan jawatan presiden, ialah pegawai AS berprofil tertinggi yang terpilih untuk mengadakan lawatan ke Taiwan sejak kali terkahir 25 tahun lalu.

Namun, Beijing telah menegaskan bahawa kehadiran Pelosi sebagai satu provokasi amat serius, menyebabkan rantau itu berada dalam ancaman besar.

Menerusi siaran langsung di televisyen, pesawat tentera AS yang dinaiki ahli parlimen berusia 82 tahun itu mendarat di Lapangan Terbang Songshan dengan ketibaan para delegasi lawatan disambut oleh Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu.

Pelosi ketika ini dalam siri lawatan ke Asia meskipun beliau mahupun pejabatnya sebelum ini tidak mengesahkan lawatannya ke Taipei, namun laporan media AS dan Taiwan melaporkan Pelosi akan ke Taiwan sekali gus mencetuskan kemarahan Beijing.

Beberapa detik sebelum Pelosi tiba di Taiwan, media China melaporkan jet pejuang Su-35 canggih melintasi Selat Taiwan, namun laporan ringkas itu tidak menyatakan butiran mengenai masa atau lokasi tepat tindakan itu.

“Tindakan AS melanggar tuntutan China dalam isu Taiwan adalah perbuatan keji,” kata Menteri Luar China, Wang Yi dalam reaksinya yang diterbitkan dalam laman web kementeriannya awal hari ini, namun tidak menyebut secara khusus mengenai Pelosi.

China menganggap Taiwan yang diperintah sendiri sebagai wilayahnya dan telah berikrar untuk merampas pulau itu suatu hari nanti, secara paksa jika perlu.

Ia cuba mengekalkan Taiwan sebagai wilayah terpencil di pentas dunia dan akan menentang mana-mana negara yang cuba mempunyai hubungan rasmi dengan Taipei.

Minggu lalu, Presiden China Xi Jinping memberi amaran kepada Presiden AS, Joe Biden supaya tidak “bermain api” dengan Taiwan.

Kali terkahir Speaker Dewan AS melawat Taiwan ialah New Gingrich pada tahun 1997.

Terdahulu, Pelosi meninggalkan Kuala Lumpur selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.


(Pesawat tentera AS yang membawa Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi
mendarat di Lapangan Terbang Songshan di Taipei pada petang 2 Ogos, 2022/AFP)

Sementara itu, China dilapor telah berikrar untuk melancarkan "tindakan ketenteraan bersasar" sebagai tindak balas kepada lawatan Pelosi ke Taiwan, tatkala ketegangan kian memuncak antara Washington dan Beijing

"Tentera Pembebasan Rakyat China berada dalam keadaan bersiap-siaga dan akan melancarkan beberapa siri operasi ketenteraan secara bersasar sebagai tindak balas perkara semasa, selain mempertahankan kedaulatan negara dan integriti wilayah.

"China dengan tegas akan menggagalkan campur tangan luar serta cubaan memisahkan 'kemerdekaan Taiwan'," kata jurucakap kementerian pertahanan Wu Qian menerusi satu kenyataan yang mengutuk lawatan itu. -AFP

Media Baharu