fb fb fb fb fb

Parti pemerintah calonkan presiden baharu walau rakyat tuntut peletakan jawatan

(Anggota keselamatan berkawal di luar bangunan Parlimen, di tengah-tengah
krisis ekonomi negara, di Colombo, Sri Lanka/REUTERS)

COLOMBO. 16 Julai- Parti pemerintah Sri Lanka semalam memilih Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe, sebagai calon Presiden baharu bagi menggantikan Gotabaya Rajapaksa yang meletak jawatan.

Wickremesinghe yang turut dituntut oleh penunjuk perasaan supaya mengundurkan diri, sudah mengangkat sumpah sebagai Pemangku Presiden selepas Parlimen Sri Lanka menerima peletakan jawatan Rajapaksa, semalam.

Tindakan memilih Wickremesinghe yang juga sekutu Rajapaksa, sebagai calon itu bagaimanapun mencetuskan kemungkinan kemelut pergolakan akan berterusan lagi sekiranya beliau memenangi jawatan Presiden baharu nanti.

Bagi perebutan jawatan Presiden baharu Sri Lanka, Wickremesinghe dijangka berdepan calon pembangkang, Sajith Premadasa, manakala Dullas Alahapperuma yang juga Ahli Parlimen kanan daripada parti pemerintah turut dikatakan bakal bersaing.

Ahli Parlimen Sri Lanka dijadualkan memilih Presiden baharu dalam tempoh seminggu. Parlimen dijadualkan bersidang untuk menerima pencalonan jawatan itu, Selasa depan, manakala pengundian akan diadakan pada keesokannya.

Hari ini, Parlimen Sri Lanka bersidang untuk memulakan proses pemilihan Presiden baharu selepas menerima peletakan jawatan Rajapaksa yang melarikan diri ke Singapura berikutan kemelut berlarutan dengan bantahan rakyat terhadap kepimpinannya dan penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasmi serta pejabat beliau.

Lebih 100 anggota polis dan pasukan keselamatan yang dilengkapi senapang, ditempatkan untuk mengawal laluan ke Parlimen, selain penghadang dan meriam air turut ditempatkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Pasukan keselamatan juga melakukan rondaan kawalan di laluan lain yang menuju ke Parlimen, walaupun tiada tanda kehadiran penunjuk perasaan.

(Parti pemerintah Sri Lanka semalam memilih Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe, sebagai calon
Presiden baharu bagi menggantikan Gotabaya Rajapaksa yang meletak jawatan/REUTERS)


Sri Lanka bergelut dengan pergolakan yang berlarutan selama berbulan-bulan sebelum ratusan ribu penunjuk perasaan menyerbu bangunan kerajaan di Colombo, baru-baru ini, dengan menyalahkan Rajapaksa, keluarga dan sekutunya atas dakwaan rasuah, masalah inflasi dan krisis kekurangan barangan keperluan asas.

Pada sidang hari ini, Setiausaha Agung Parlimen Sri Lanka, Dhammika Dasanayake, membacakan secara rasmi surat peletakan jawatan Rajapaksa yang kandungannya tidak didedahkan kepada awam sebelum ini.

Rajapaksa mendakwa beliau sudah mengambil 'segala langkah yang terdaya' untuk menangani krisis ekonomi yang kini membelenggu Sri Lanka.

Dalam suratnya, Rajapaksa juga mendakwa krisis kewangan Sri Lanka berpunca daripada salah urus ekonomi selama bertahun-tahun sebelum beliau menjadi Presiden, selain diburukkan lagi dengan kesan pandemik COVID-19.

"Saya secara peribadi percaya bahawa saya telah mengambil segala langkah termampu bagi menangani krisis ini, termasuk mempelawa Ahli Parlimen untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan atau semua parti," menurut surat itu.- REUTERS

Media Baharu