fb fb fb fb fb

Parlimen Korea Selatan lulus pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol

204 ahli parlimen menyokong pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol/Foto AFP

Seoul, 14 Disember - Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol telah dipecat oleh Parlimen Korea Selatan hari ini atas dakwaan pemberontakan selepas kegagalannya dalam melaksanakan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu.

Pihak pembangkang menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan rakyat.

Daripada 300 ahli parlimen, 204 menyokong pemecatan, 85 menolak, tiga berkecuali, dan lapan undi dibatalkan.

Yoon kini digantung daripada jawatan presiden sementara Mahkamah Perlembagaan meneliti keputusan itu.

Tempoh maksimum untuk membuat keputusan itu adalah 180 hari.

Sekiranya mahkamah menyokong pemecatan, Yoon akan menjadi presiden kedua dalam sejarah Korea Selatan yang disingkirkan melalui proses ini.

Perdana Menteri Han Duck-soo akan bertindak sebagai presiden dan berjanji untuk 'memastikan kestabilan pentadbiran'.

Gelombang rakyat Seoul

Di luar parlimen, lebih 200,000 orang berkumpul untuk menyokong pemecatan Yoon, menurut polis.

Choi Jung-ha, 52, yang hadir di perhimpunan itu berkata:

"Hebat sekali lagi rakyat berjaya melakukannya dengan bersama-sama!"

Namun, di kawasan lain di Seoul, 30,000 penyokong Yoon berhimpun, melaungkan lagu patriotik dan membawa bendera Korea Selatan serta Amerika Syarikat.

Penyokong Yoon seperti Choi Hee-sun, 62, berkata:

"Yoon tiada pilihan selain mengisytiharkan undang-undang darurat. Saya menyokong semua keputusannya."

Pengaruh K-pop dan solidariti rakyat

Dalam protes menyokong pemecatan, selebriti seperti Yuri dari Girls' Generation turut menunjukkan sokongan, selain berkongsi rezeki dan membayar makanan untuk para penunjuk perasaan.

Sukarelawan juga menyediakan pemanas tangan, kopi, dan makanan bagi membantu orang ramai yang berhimpun dalam keadaan cuaca sejuk.

Cabaran di Mahkamah

Mahkamah Perlembagaan, yang kini hanya mempunyai enam hakim, memerlukan keputusan sebulat suara untuk menyokong pemecatan.

Speaker parlimen Woo Won-shik menyatakan bahawa mereka akan segera melantik tiga lagi hakim untuk melengkapkan barisan mahkamah.

Sementara itu, tinjauan Gallup Korea, Yoon tetap tidak menunjukkan rasa bersalah dan terus mempertahankan tindakannya walaupun popularitinya merosot kepada 11 peratus.

Dalam tinjauan yang sama, 75 peratus rakyat menyokong pemecatannya. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN