fb fb fb fb fb

Pangsapuri di Belanda runtuh selepas letupan, kebakaran

Sebuah blok pangsapuri tiga tingkat di The Hague runtuh sebahagiannya hari ini selepas insiden letupan dan kebakaran/AFP

THE HAGUE, 7 Disember- Sebuah blok pangsapuri tiga tingkat di sini dekat Belanda runtuh sebahagiannya hari ini selepas letupan dan kebakaran dengan pasukan penyelamat giat mencari mangsa yang terperangkap bawah runtuhan.

Setakat ini, empat orang telah diselamatkan dan dihantar ke hospital.

Pasukan penyelamat elit dengan anjing pengesan telah dikerahkan tetapi jumlah mangsa yang masih hilang dan punca letupan belum diketahui.

Menurut pihak berkuasa, bangunan itu menempatkan kedai di tingkat bawah serta lima unit pangsapuri dua tingkat dengan ruang tamu di tingkat kedua dan bilik tidur di tingkat atas.

Kebakaran yang berlaku sekitar pukul 6.15 pagi waktu tempatan itu turut memusnahkan beberapa rumah di sekitar kawasan tersebut.

Penduduk menggambarkan kejadian itu seperti gempa bumi dengan serpihan bangunan bertaburan di jalan, jendela pecah dan asap tebal menyelubungi kawasan terbabit.

"Saya sedang tidur dan tiba-tiba terdengar dentuman kuat," kata seorang penduduk, Adam Muller, 14.

Datuk Bandar The Hague, Jan van Zanen tiba di lokasi untuk menyelaraskan usaha menyelamat, sementara pasukan forensik mula menyiasat punca insiden.

Hospital-hospital di kawasan itu telah diaktifkan untuk menerima mangsa dan kira-kira 40 penduduk dari bangunan berhampiran telah dipindahkan ke lokasi selamat.

Pihak berkuasa turut menggesa penduduk sekitar menutup tingkap dan sistem pengudaraan kerana risiko pencemaran udara akibat asap kebakaran.

Letupan itu dikatakan memberi kesan besar kepada komuniti setempat yang kebanyakannya dihuni warga emas dan keluarga dengan anak kecil. -AFP

SITI AISHAH MD ISA