fb fb fb fb fb

Palestin harap gencatan senjata di Gaza menjelang Ramadan

Foto Reuters

ANTALYA, 2 Mac - Pihak Berkuasa Palestin berharap gencatan senjata dapat dipersetujui dalam perang Gaza pada bulan Ramadan, kata Menteri Luarnya, Riyad al-Maliki.

Israel dan Hamas telah berunding melalui pengantara berhubung kemungkinan gencatan senjata di Gaza dengan tujuan menghentikan pertempuran pada Ramadan, bulan puasa umat Islam yang akan bermula pada 10 Mac.

“Kami berharap dapat mencapai gencatan senjata sebelum Ramadan, kami berharap dapat mencapai satu hari ini atau semalam, tetapi kami telah gagal,” katanya pada sidang akhbar di forum diplomatik di Antalya, Turki.

Sumber keselamatan Mesir hari ini berkata bahawa rundingan gencatan senjata akan disambung semula di Kaherah esok.

Maliki menyeru masyarakat antarabangsa supaya lebih berusaha ke arah gencatan senjata.

Ketika ditanya tentang peranan pihak berkuasa Palestin dalam tadbir urus Gaza selepas perang, Maliki berkata, “Satu-satunya pihak berkuasa yang sah yang akan beroperasi dan terus mengendalikan Gaza ialah pentadbiran Palestin. Ini adalah bagaimana kita melihat keadaan di Gaza selepas perang.”

Pihak berkuasa Palestin, yang menjalankan pemerintahan sendiri yang terhad di beberapa bahagian Tebing Barat yang diduduki Israel, kehilangan kawalan ke atas Gaza kepada kumpulan pejuang Hamas pada 2007.

Maliki juga berkata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas akan melawat Ankara pada hari Selasa dan bertemu Presiden Turki, Tayyip Erdogan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN