fb fb fb fb fb

Norway gesa negara penderma teruskan bantuan kepada PBB untuk rakyat Palestin

Norway, yang mengetuai kumpulan penderma untuk Palestin (AHLC), pada Selasa menggesa para peyumbang untuk menyambung semula bantuan mereka kepada agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin, UNRWA / Foto Reuters

OSLO, 24 April - Norway, yang mengetuai kumpulan penderma untuk Palestin (AHLC), pada Selasa menggesa para peyumbang untuk menyambung semula bantuan mereka kepada agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin, UNRWA.

Seruan itu dibuat sehari selepas kumpulan semakan bebas mengatakan bahawa walaupun ia telah menemui beberapa "isu berkaitan neutraliti" menerusi laporan mengenai Agensi Bantuan dan Kerja Raya PBB yang menyatakan bahawa "Israel masih belum memberikan bukti sokongan" atas dakwaan UNRWA menggaji lebih daripada 400 "pengganas."

“Saya sangat gembira kerana negara-negara seperti Australia, Kanada, Finland, Jerman, Iceland, Jepun dan Sweden telah mengubah keputusan mereka dan meneruskan pembiayaan kepada UNRWA,” kata Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide dalam satu kenyataan.

“Saya kini ingin menyeru negara-negara yang masih membekukan sumbangan mereka kepada UNRWA untuk menyambung semula pembiayaan,” katanya.

Norway merupakan salah satu daripada beberapa penderma utama yang mengekalkan dananya kepada UNRWA walaupun terdapat dakwaan oleh Israel bahawa beberapa kakitangan UNRWA telah mengambil bahagian dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,170 orang, kebanyakannya orang awam, menurut jumlah AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Pada minggu-minggu selepas dakwaan itu, banyak negara penderma menggantung atau memberhentikan pembiayaan kira-kira AS$450 juta.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN