BAITULMAQDIS, 11 Disember- Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggesa Hamas untuk meletakkan senjata mereka dan berkata perjuangan kumpulan pejuang Palestin itu sudah hampir berakhir, ketika perang di Semenanjung Gaza berlanjutan lebih dua bulan.
“Perang masih berterusan tetapi ia adalah permulaan kepada penghujung Hamas. Saya berkata kepada Hamas: Sudah berakhir. Menyerahlah sekarang,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan, ditujukan kepada ketua Hamas di Semenanjung Gaza.
“Dalam beberapa hari lalu, berpuluh-puluh pejuang Hamas telah menyerah diri kepada pasukan kami,” dakwa Netanyahu.
Tentera Israel bagaimanapun, tidak mengeluarkan bukti penyerahan itu, dan Hamas telah menolak kenyataan tersebut.
Hampir sebulan lalu, Menteri Pertahanan Israel ,Yoav Gallant berkata Hamas telah "hilang kawalan" ke atas Gaza.
Ahli kanan biro politik Hamas, Izzat al-Rishq berkata sejarah akan "mengingati Gaza sebagai kemenangan paling jelas" untuk Palestin.
"Tamat penaklukan telah bermula di Gaza," kata Rishq.
Peperangan terbaharu di Gaza tercetus selepas Hamas melancarkan serangan mengejut dan meninggalkan kesan paling dahsyat ke atas Israel pada 7 Oktober, dengan kira-kira 1,200 orang terkorban, menurut angka Israel, dan menahan kira-kira 240 tebusan ke Gaza.
Dalam serangan balas udara, darat dan laut Israel terhadap Hamas di Semenanjung Gaza, sekurang-kurangnya 17,997 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak telah terbunuh, menurut kementerian kesihatan, dikendalikan Hamas di wilayah itu. -AFP