fb fb fb fb fb

Muzium persendirian di Tokyo pamer koleksi teknologi vintaj

Extinct Media Museum mempamerkan teknologi vintaj termasuk kamera lama, pita kaset dan telefon bimbit/ Reuters

TOKYO, 15 Januari- Ibarat menelusuri terowong masa, muzium persendirian 'Extinct Media Museum' mempamerkan koleksi pita video Betacam, cakera liut, peranti Sony vintaj dan kamera pegun lama "Lily" buatan Jepun pada tahun 1916 yang pernah digunakan suatu masa dahulu.

Ketika memasuki ruang pameran berkenaan pengunjung berusia lebih setengah abad berupaya untuk mengimbau kembali pengalaman ketika menggunakan peralatan tersebut suatu ketika dahulu.

Barangan pameran di muzium berkenaan adalah sumbangan daripada penyimpan barangan vintaj. Tidak ketinggalan pelawat seperti Mika Matsuda yang berusia 59 tahun yang masih ingat ketika dia menggunakan gajet yang dipamerkan itu.

"Ia menarik bukan sahaja untuk generasi yang tidak biasa dengan barangan ini, tetapi juga bagi mereka yang hidup pada masa itu. Melihat pameran ini terasa seperti saya mengimbas kembali kehidupan pada suatu ketika dahulu. Ia mengingatkan saya pada zaman muda, ia sangat seronok," katanya.

Muzium berkenaan dibuka pada Januari 2023, diasaskan dengan pengumpulan peralatan media lama, jelas timbalan kurator muzium Barbara Asuka. Barangan yang didermakan tidak diletakkan di dalam almari kaca sebaliknya ia dipamerkan secara terbuka.

Dengan pameran seperti itu ia dilihat akan memberikan pengalaman kepada pengunjung untuk meneroka barangan vintaj berkenaan secara fizikal, tambahnya.

"Terdapat banyak maklumat yang boleh anda peroleh dengan memegang atau sebagainya. Kami mahu pengunjung merasai pengalaman barangan ini dengan kelima-lima deria, bukannya hanya melihat paparan melalui kaca," kata Asuka.

Muzium itu kerap menerima sumbangan daripada pengunjung muzium seperti yang dilakukan Hisashi Ito. Hisashi mendermakan seutas jam tangan kecil dan pita kaset daripada koleksi peribadinya.

"Walaupun saya menyimpan gajet ini di rumah, ia mungkin akan dibuang begitu sahaja apabila saya mati. Lebih baik saya berkongsi dan membiarkan orang ramai menikmatinya," kata pereka kereta berusia 56 tahun itu.

Waktu operasi berkenaa berbeza-beza mengikut laman webnya. Harga masuk umum sekitar 2,000 yen ($12.70) manakala harga untuk penderma dan pelajar adalah sekitar 1,000 yen.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI