fb fb fb fb fb

Meta lantik tiga pengarah baharu

FOTO REUTERS

SAN FRANCISCO, 6 Januari - Meta pada Isnin mengumumkan pelantikan tiga pengarah baharu dalam lembaga pengarahnya, termasuk ketua Ultimate Fighting Championship (UFC), Dana White yang merupakan sekutu rapat Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Pelantikan ahli lembaga pengarah baharu itu diumumkan ketika pengasas dan CEO Meta, Mark Zuckerberg sedang berusaha mendekati pentadbiran Trump yang akan datang.

Satu lagi langkah terbaru untuk mendekati pasukan Trump, Meta minggu lalu melantik tokoh Republikan terkemuka Joel Kaplan, bagi mengetuai bahagian hal ehwal awam syarikat itu, menggantikan Nick Clegg, bekas timbalan perdana menteri Britain.

Trump sebelum ini kerap mengkritik Meta dan Zuckerberg, menuduh syarikat itu menyokong dasar liberal dan berat sebelah terhadap konservatif. Akaun Trump di Facebook telah digantung susulan serangan ke atas Capitol AS pada 6 Januari 2021, namun akaunnya dipulihkan pada awal 2023.

White, yang telah menjalin persahabatan rapat dengan Trump selama lebih dua dekad sejak Trump menawarkan tempat-tempat acara untuk UFC, berkata:

"Saya tidak pernah berminat menyertai lembaga pengarah sehingga saya mendapat tawaran untuk menyertai lembaga pengarah Meta. Saya sangat percaya bahawa media sosial dan AI adalah masa depan."

Selain White, Meta turut melantik Ketua Pegawai Eksekutif Exor, John Elkann, dan bekas eksekutif Microsoft, Charlie Songhurst, ke lembaga pengarahnya, menjadikan jumlah ahli lembaga Meta kini 13 orang.

Pelantikan tersebut dibuat ketika Meta, syarikat induk Facebook dan Instagram, memperhebatkan tumpuannya kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi boleh pakai.

"Dana, John, dan Charlie akan menambah kepakaran dan perspektif yang mendalam yang akan membantu kami menangani peluang besar yang ada di hadapan, termasuk AI, teknologi boleh pakai, dan masa depan hubungan manusia," kata CEO Meta, Zuckerberg, dalam satu kenyataan. - AFP

TETITIA YUSOFF