fb fb fb fb fb

Menteri Israel tuduh Netanyahu gagal urus operasi Gaza, gesa pilihan raya diadakan

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu/ REUTERS

BAITULMAQDIS, 30 Mei- Seorang menteri kabinet Israel pada Rabu menuduh Perdana Menteri,Benjamin Netanyahu 'gagal' dalam operasi di Gaza.

Tuduhan itu mengundang kritikan hebat daripada Parti Likud, pimpinan Netanyahu apabila perpecahan politik semakin ketara.

Anggota Knesset, Gadi Eisenkot, yang merupakan seorang pemerhati dalam kabinet perang Netanyahu, berkata Perdana Menteri Israel itu gagal berhubung isu keselamatan dan ekonomi dan beliau menggesa pilihan raya diadakan menjelang hujung tahun ini.

Semasa berucap di sebuah persidangan, mantan ketua tentera itu, yang anak bongsunya terbunuh dalam pertempuran di Gaza pada Disember lalu, menegaskan bahawa Netanyahu telah mengelirukan rakyat Israel dengan slogan "kemenangan mutlak" ke atas Hamas dan tidak bersikap jujur tentang kerumitan perang di Gaza, yang sudah masuk bulan kelapan.

"Sesiapa yang mengatakan bahawa kami akan membubarkan beberapa batalion di Rafah dan kemudian membebaskan para tebusan sedang memberikan gambaran palsu.

"Ia akan mengambil masa tiga hingga lima tahun untuk menstabilkan (Gaza) dan kemudian bertahun-tahun lagi untuk mewujudkan alternatif kepada Hamas," tegasnya.

Beliau menambah Netanyahu juga gagal untuk memenuhi janji-janjinya semasa berkempen dalam pilihan raya pada 2022, termasuk menghentikan program nuklear Iran, memulihkan hubungan diplomatik dengan Arab Saudi dan mengukuhkan ekonomi Israel.

Israel telah melancarkan serangan udara dan darat di Gaza sejak Oktober lalu, sambil berikrar akan menghapuskan Hamas. Para pakar bagaimanapun meragui sama ada matlamat tersebut dapat dicapai.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Telegram, Parti Likud menyatakan Eisenkot dan seorang lagi menteri kabinet perang Israel, Benny Gantz, iaitu pesaing utama Netanyahu, sedang mencari alasan untuk meninggalkan pakatan tersebut sedang perang di Gaza semakin sengit.

"Daripada mengejar kemenangan, mereka sebaliknya terlibat dalam politik murahan ini," menurut kenyataan Parti Likud.

Pertikaman lidah pada Rabu merupakan pertikaian terbaharu dalam pakatan tersebut, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai berapa lama kerajaan sekarang boleh bertahan ketikaNetanyahu menangani tuntutan yang bercanggah daripada ahli anggota pakatan, dan menghadapi kutukan masyarakat antarabangsa, termasuk sekutu utamanya Amerika Syarikat.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI