COLOMBO, 5 April - Empat menteri baharu Sri Lanka mengangkat sumpah di hadapan Presiden Gotabaya Rajapaksa pada Isnin.
Menurut Pejabat Presiden, mereka terdiri Menteri Kewangan, Menteri Luar, Menteri Pendidikan dan Menteri Lebuhraya.
Sementara itu, banyak lagi nama dijangka diumum dalam masa terdekat bagi menganggotai barisan kabinet baharu jika parti pembangkang bersetuju membentuk kerajaan campuran.
Bantahan meletus di Sri Lanka sejak beberapa hari lepas yang mendesak kerajaan mengambil langkah segera menyelesaikan krisis ekonomi, isu bekalan elektrik dan kekurangan bahan api.
Berikutan itu, pada Ahad menteri kabinet sebelum ini melepaskan jawatan.
Pada Isnin, Presiden Rajapaksa mempelawa semua parti politik menyertai kerajaan campuran bagi mencari penyelesaian kepada krisis berkenaan.
(Ratusan individu mengepung pejabat Presiden dan Perdana Menteri di Colombo)
Dalam perkembangan berkaitan, pembangkang Sri Lanka menolak pelawaan Presiden Gotabaya Rajapaksa untuk menyertai kerajaan perpaduan.
Malah menyifatkannya sebagai tidak masuk akal sebaliknya menuntut Rajapaksa meletak jawatan kerana isu kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan yang semakin meruncing.
Cadangan Rajapaksa itu dibangkitkan ketika tentera cuba menghentikan banyak demonstrasi yang diakui kerajaan sebagai krisis ekonomi terburuk sejak merdeka pada 1948.
Polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan ribuan penunjuk perasaan yang cuba menyerbu kediaman Perdana Menteri.
Manakala ratusan individu mengepung pejabat Presiden dan Perdana Menteri di Colombo selama berjam-jam semalam yang dihalang polis bersenjata.
Pagi semalam, presiden meminta pembangkang bersama mencari penyelesaian krisis selepas peletakan jawatan hampir semua menteri kabinet.
Menurut penganalisis politik, tawaran kerajaan perpaduan tidak cukup untuk menangani krisis ekonomi atau memulihkan keyakinan terhadap pentadbiran Rajapaksa.
Kekurangan mata wang asing yang kritikal menyebabkan Sri Lanka bergelut melunaskan hutang asingnya yang mencecah AS$51 bilion dan diburukkan lagi dengan krisis COVID-19. - AFP