fb fb fb fb fb

Maldives larang kemasukan warga Israel sebagai protes perang di Gaza

Presiden Maldives, Mohamed Muizzu / Foto Reuters

MALE, 16 April – Kerajaan Maldives mengumumkan larangan kemasukan terhadap warganegara Israel ke negara kepulauan itu sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin susulan perang berterusan di Gaza.

Presidennya Mohamed Muizzu menandatangani ratifikasi undang-undang berkenaan sejurus diluluskan oleh parlimen pada Selasa.

“Ratifikasi ini mencerminkan pendirian tegas kerajaan sebagai respons terhadap kekejaman berterusan dan tindakan genosid yang sedang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin,” menurut kenyataan Pejabat Presiden.

“Maldives mengulangi komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin,” kata kenyataan itu lagi.

Jurucakap Pejabat Presiden memaklumkan larangan tersebut akan berkuat kuasa serta-merta.

Maldives, sebuah republik Islam kecil yang terdiri daripada 1,192 pulau karang di Lautan Hindi, terkenal sebagai destinasi pelancongan mewah dengan pantai pasir putih dan lagun biru kehijauan.

Data rasmi menunjukkan hanya 59 pelancong dari Israel melawat negara itu pada Februari lalu, berbanding lebih 214,000 pelawat asing dari negara lain.

Larangan terdahulu terhadap pelancong Israel pernah ditarik balik pada awal 1990-an dan hubungan diplomatik turut cuba dipulihkan pada tahun 2010.

Namun, tekanan daripada parti pembangkang dan sekutu kerajaan telah mendorong Presiden Muizzu mengambil langkah itu sebagai simbol penentangan terhadap serangan Israel ke atas Gaza.

Susulan perkembangan ini, Kementerian Luar Negeri Israel sebelum ini telah menasihati rakyatnya supaya tidak melancong ke Maldives.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN