NEW DELHI, 15 Oktober - Maldives menjadi negara terbaharu yang melaksanakan larangan terhadap rokok elektronik dalam usaha memerangi ketagihan nikotin dan melindungi kesihatan awam.
Presidennya, Mohamed Muizzu pada Isnin berkata kerajaan sedang mengambil langkah kukuh untuk melarang penggunaan rokok tersebut.
Beliau telah mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk memulakan tindakan yang perlu bagi mengharamkan import peranti "vaporiser" , aksesori dan alat ganti mulai 15 November tahun ini, menurut kenyataan pejabat Presiden.
Mulai 15 Disember, larangan itu juga akan dikenakan ke atas pemilikan, penggunaan, pembuatan, penjualan, promosi dan pengedaran percuma peranti rokok elektronik di seluruh negara.
Rakyat Maldives menerusi hantaran di platform media sosial menyambut baik keputusan itu, dengan menyatakan bahawa ia akan melindungi masyarakat daripada gaya hidup yang berbahaya.
Sesetengah pihak turut mencadangkan agar larangan lebih meluas dikenakan ke atas penggunaan tembakau dan rokok.-BERNAMA