NEW YORK, 18 November – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi yang digubal Amerika Syarikat (AS) bagi menyokong rancangan Presiden Donald Trump untuk menamatkan perang di Gaza serta menubuhkan pasukan penstabilan antarabangsa bagi wilayah berkenaan.
Resolusi itu diluluskan dengan 14 undi menyokong dan tiada undi menentang, manakala Rusia dan China berkecuali kerana berpendapat PBB tidak diberi peranan jelas dalam masa depan Gaza.
Duta Rusia, Vassily Nebenzia berkata resolusi tersebut memberi kawalan penuh kepada Lembaga Keamanan dan pasukan penstabilan antarabangsa (ISF) walaupun butiran operasinya masih tidak diketahui.
Israel dan Hamas sebelum ini bersetuju dengan fasa pertama pelan 20 perkara Trump, termasuk gencatan senjata dan pembebasan tebusan.
Resolusi PBB berkenaan dianggap penting untuk mengesahkan badan tadbir urus peralihan serta meyakinkan negara yang mempertimbangkan penghantaran anggota ke Gaza.
Duta AS ke PBB, Michael Waltz/REUTERS
Melalui resolusi itu, negara anggota dibenarkan menyertai Lembaga Keamanan yang dipengerusikan Trump, yang berperanan menyelia pemulihan ekonomi dan pembinaan semula Gaza.
Ia turut memberi kuasa kepada pasukan penstabilan antarabangsa untuk melaksanakan proses nyahmilitarisasi, termasuk melucutkan senjata dan memusnahkan infrastruktur ketenteraan.
Hamas menegaskan pihaknya tidak akan melucutkan senjata dan menyifatkan perjuangannya menentang Israel sebagai penentangan yang sah, sekali gus membuka kemungkinan pertembungan dengan pasukan antarabangsa.
Duta AS ke PBB, Michael Waltz menyatakan resolusi itu menyediakan “laluan ke arah penentuan nasib sendiri rakyat Palestin” serta memastikan Gaza bebas daripada penguasaan Hamas.
Pihak Berkuasa Palestin mengalu-alukan resolusi berkenaan dan menyatakan kesediaan untuk melaksanakannya. Sokongan mereka dilaporkan menjadi faktor utama dalam mengelakkan veto Rusia.
Trump menyifatkan kelulusan resolusi itu sebagai “detik bersejarah” dan berkata senarai ahli Lembaga Keamanan akan diumumkan dalam masa terdekat. -REUTERS