AGAM, 5 Disember- Jumlah kematian akibat letusan gunung berapi di Indonesia meningkat kepada 22 orang selepas sembilan lagi mayat ditemukan.
Menurut Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Padang, Abdul Malik, sembilan daripada 10 mangsa yang hilang ditemukan mati tengah hari tadi.
"Pada masa ini, pihak kami sedang berusaha memindahkan kesemua mayat itu. Seorang lagi mangsa masih dalam pencarian," katanya kepada AFP di sini.
Terdahulu, Gunung Merapi di Sumatera meletus pada Ahad, mengeluarkan abu setinggi tiga kilometer (1.8 batu) ke udara, ketika 75 orang sedang mendaki di kawasan tersebut.
Gunung Merapi yang bermaksud 'Gunung Api', adalah gunung berapi paling aktif di Sumatera.
Indonesia mempunyai hampir 130 gunung berapi aktif. - AFP