OSAKA, 20 September- Alat komunikasi radio dua hala atau 'walkie-talkie' yang meletup di seluruh Lubnan hingga membunuh 20 orang dan mencederakan lebih 450 lagi pada Rabu lepas mungkin bukan produk asli, kata pengeluar Jepun.
Semalam, Pengarah Icom, Yoshiki Enomoto memaklumkan pandangan peribadinya adalah peranti yang menyerupai model walkie-talkie IC-V82 keluaran syarikatnya itu mungkin tiruan.
Bagaimanapun, beliau menambah Icom yang berpangkalan di Osaka itu tidak dapat memberikan kepastian sepenuhnya buat masa ini.
"Pelekat hologram sepatutnya ada di sini," katanya sambil memegang foto cetakan salah satu walkie-talkie yang meletup di Lubnan. "Ketiadaan pelekat itu bermakna kami tidak dapat memastikan ia asli," ujarnya.
Walkie-talkie itu dibeli oleh Hezbollah lima bulan lepas, hampir serentak dengan penghantaran alat pager yang meletup pada Selasa lepas, menurut sumber keselamatan kepada Reuters.
Sumber-sumber memaklumkan perisik Israel meletupkan bahan letupan yang mereka tanam dalam pesanan Hezbollah sebanyak 5,000 pager sebelum ia memasuki Lubnan.
"Namun, berbeza dengan pager yang dibuat oleh Gold Apollo dari Taiwan dan dihasilkan oleh pemegang lesen di Budapest (Hungary), semua produk Icom dihasilkan di kemudahan syarikat di Jepun, yang bermakna ia tidak mungkin diganggu sebelum penghantaran," kata Enomoto.
Tambah Enomoto, proses pengeluaran di kilang menggunakan teknologi robotik yang sangat cepat, sehingga tidak mungkin ada peluang atau waktu mencukupi untuk memasukkan bahan letupan dalam produk.
"Kami mempunyai barisan pengeluaran robotik yang sangat pantas, jadi tiada masa untuk memasang bahan letupan," katanya.
BERITA BERKAITAN