WASHINGTON, 11 Oktober -Seramai 19 individu dilaporkan hilang, manakala beberapa lagi disahkan terkorban selepas letupan besar berlaku di sebuah kilang bahan letupan milik tentera Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, menurut pihak berkuasa.
Pasukan kecemasan kini sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian yang musnah teruk di daerah Hickman, Tennessee.
Rakaman udara yang disiarkan media AS menunjukkan serpihan yang masih berasap serta kenderaan yang hangus dan remuk berselerakan di kawasan kilang milik Accurate Energetic Systems yang terletak di kawasan Bucksnort, Hickman County.
"Setakat ini, kami telah mengesahkan bahawa terdapat 19 orang yang masih belum ditemui," kata Sheriff Daerah Humphreys, Chris Davis, kepada wartawan.
"Terdapat kematian, namun saya tidak mahu memberikan angka tepat buat masa ini. Apa yang boleh saya sahkan adalah kami sedang mencari 19 individu."
Letupan tersebut dipercayai memusnahkan keseluruhan sebuah bangunan di fasiliti itu.
"Letupan ini amat kuat sehingga kedengaran dari jarak jauh, dan serpihan bertebaran sehingga setengah batu persegi," katanya. Ketika ditanya mengenai keadaan bangunan yang meletup, beliau menjawab, "Tiada apa yang boleh digambarkan. Ia sudah tiada."
Punca letupan masih belum dikenal pasti dan pihak berkuasa kini sedang menyiasat untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Davis turut mengakui betapa sukarnya situasi ini buat ahli keluarga yang menunggu khabar mengenai orang tersayang yang hilang.
"Saya yakin ada yang marah, ada yang sedih, sangat kecewa dan saya faham sepenuhnya," katanya. "Ini adalah neraka buat kami semua yang terlibat."
Gabenor Tennessee, Bill Lee, turut memaklumkan bahawa beliau sedang memantau situasi berkenaan.
"Agensi kerajaan negeri kini bekerjasama dengan agensi persekutuan dan tempatan dalam operasi ini,” katanya di platform X.
Accurate Energetic Systems, yang diasaskan pada tahun 1980, adalah pengeluar bahan letupan yang membekalkan pelbagai produk kepada Jabatan Pertahanan AS serta pasaran industri domestik.
Syarikat itu masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi. - AFP