fb fb fb fb fb

Krisis Rusia - Ukraine semakin memuncak, tentera Rusia memasuki dua wilayah di Ukraine yang dikuasai pemberontak



MOSCOW, 23 Februari - Krisis Rusia - Ukraine semakin memuncak di mana tentera Rusia kini telah memasuki dua wilayah di Ukraine yang dikuasai pemberontak, selepas Presiden Vladimir Putin mengeluarkan arahan.

Tindakan Rusia itu tidak mengendahkan sekatan yang dibuat oleh Barat sebagai langkah mengelak tercetus perang.

Terdahulu, Putin mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah yang dikuasai pemberontak iaitu di Donetsk dan Luhansk di Ukraine.

Dalam dua dekri rasmi, Presiden Putin mengarahkan Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan fungsi pengaman di wilayah yang dikuasai kumpulan pemisah pro-Rusia itu.

Pengiktirafan republik tersebut yang disokong Rusia sejak tahun 2014 mencetuskan kecaman antarabangsa termasuk daripada Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Situasi di timur Ukraine kini semakin tegang, termasuk laporan pelanggaran gencatan senjata, beberapa insiden tembakan, dan pemindahan orang awam dari wilayah pro-Russia di Donetsk dan Luhansk.

Presiden Vladimir Putin sebelum ini menafikan merancang untuk menyerang Ukraine namun Amerika Syarikat percaya ia berlaku tidak lama lagi. -AFP

 

Media Baharu