fb fb fb fb fb

Krisis kelaparan Gaza: Jalan rosak halang konvoi bantuan

Foto REUTERS

KHAN YUNIS, 17 Oktober- Trak-trak bantuan dilaporkan tiba di Khan Yunis, Gaza pada Jumaat, namun penghantaran ke Gaza City masih terhalang akibat jalan rosak dan penutupan laluan utama di utara wilayah itu.

PBB memaklumkan purata 560 tan makanan memasuki Gaza setiap hari sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

Namun, konvoi menghadapi kesukaran menghantar bekalan ke kawasan yang dilanda kebuluran.

Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher berkata ribuan kenderaan bantuan perlu masuk setiap minggu untuk menangani krisis yang dicirikan oleh kekurangan makanan, kehilangan tempat tinggal, dan keruntuhan infrastruktur.

Pejabat PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan kira-kira 950 trak memasuki Gaza pada Khamis melalui pintu sempadan Kerem Shalom dan Kissufim.

Pada Rabu, sekitar 715 trak termasuk 16 membawa bahan bakar dan gas turut memasuki Gaza.

Wilayah bandar yang padat itu kini sebahagiannya menjadi "padang jarak, padang terkukur" akibat serangan udara dan pengeboman Israel yang telah meragut hampir 68,000 nyawa rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM