fb fb fb fb fb

Korea Utara lancarkan beberapa peluru berpandu di luar pantai timur

Foto hiasan

SEOUL, 14 Februari- Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu di luar pantai timurnya pada Rabu, kata tentera Seoul.

"Tentera kami mengesan beberapa peluru berpandu yang tidak diketahui di perairan timur laut Wonsan sekitar pukul 9.00 pagi waktu tempatan dan pihak berkuasa perisikan Korea Selatan-Amerika Syarikat sedang menjalankan analisis terperinci," kata Ketua Turus Bersama dalam satu kenyataan.

Ia turut menambah "pengawasan dan kewaspadaan dikuatkuasakan selain memerhati dengan teliti sebarang tanda dan aktiviti tambahan dari Korea Utara."

Awal minggu ini, Korea Utara mengumumkan telah menguji sistem kawalan baharu untuk pelancar roket yang dikatakan akan mempunyai peningkatan dalam peranan medan perang.

Setakat tahun ini, Kim telah mengisytiharkan Korea Selatan sebagai "musuh utama" negara itu dan membuang agensi yang berdedikasi untuk penyatuan semula kedua-dua negara dan mengancam perang terhadap Korea Selatan "walaupun 0.001 mm" dalam pelanggaran wilayah.

Pyongyang juga telah meningkatkan ujian senjata, termasuk ujian "sistem senjata nuklear bawah air" dan penembakan peluru berpandu balistik hipersonik bahan api pepejal.

Perkara itu mencetuskan spekulasi daripada pakar bahawa ia sedang menguji senjata itu sebelum menghantarnya ke Moscow untuk digunakan di Ukraine.

Pyongyang dan Moscow telah mengukuhkan hubungan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dengan pemimpin Kim Jong Un membuat lawatan ke Rusia untuk bertemu Presiden Vladimir Putin pada September.

Seoul dan Washington pula menuduh Korea Utara membekalkan senjata kepada Rusia sebagai pertukaran untuk sokongan teknikal Moscow bagi program satelit Kim.

Bagaimnapaun ujian peluru berpandu tidak diharamkan bawah sekatan PBB semasa ke atas Pyongyang.

Peluru berpandu pelayaran cenderung menggunakan jet dan terbang pada ketinggian yang lebih rendah berbanding peluru berpandu balistik yang lebih canggih selain menjadikannya lebih sukar untuk dikesan dan dipintas.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI