(Korea Utara melepaskan peluru berpandu balistik pada 4 Mei/AFP)
SEOUL, 4 Mei - Korea Utara telah melepaskan peluru berpandu balistik yang tidak dikenal pasti, kata tentera Korea Selatan pada hari Rabu.
"Korea Utara melepaskan peluru berpandu yang tidak dikenali ke arah timur. Peluru berpandu itu terbang sejauh 470 kilometer dan mencapai ketinggian 780 kilometer," kata Ketua Turus Bersama dalam satu kenyataan, tanpa memberikan butiran lanjut.
Pelancaran tersebut adalah yang terbaharu dalam siri provokasi ketenteraan yang dilakukan negara bersenjata nuklear itu tahun ini, termasuk peluru berpandu antara benua berkuasa tinggi yang boleh sampai ke Amerika Syarikat.
(Ujian tembakan peluru berpandu Korea Utara pada 5 Januari 2022/REUTERS)
Walaupun dihimpit sekatan, Korea Utara telah menggandakan usaha pemodenan ketenteraannya, termasuk menguji beberapa senjata terlarang.
Pyongyang telah menjalankan 14 ujian senjata sejak Januari.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dalam pertemuan dengan pegawai tertinggi tentera minggu lalu memberi amaran beliau boleh melancarkan serangan awal menggunakan kuasa nuklearnya untuk menentang pasukan musuh.
Pelancaran terbaharu berlaku hanya beberapa hari sebelum presiden baharu Korea Selatan, Yoon Suk-yeol yang telah berikrar pendirian yang lebih tegas terhadap Pyongyang mengambil alih jawatan minggu depan. -AFP