(FOTO AFP)
SEOUL, 24 Mac- Korea Utara menguji dron serangan nuklear dalam air yang direka untuk melancarkan 'tsunami radioaktif' yang mampu memusnahkan kapal dan pelabuhan tentera laut musuh, lapor media kerajaan.
Menurut agensi berita KCNA, sepanjang latihan bermula Selasa lalu, tentera Korea Utara mengerah dan menguji sistem senjata baharu dengan misi untuk mencetuskan gelombang pemusnah 'skala besar'.
"Dron serangan bawah air nuklear ini boleh digunakan di mana-mana pantai dan pelabuhan atau ditarik oleh kapal untuk operasi.
"Senjata rahsia ini dimasukkan ke dalam air di wilayah Hamgyon Selatan pada Selasa lalu dan semalam ia meletupkan kepala peledak ujian," kata agensi itu.
Setakat ini, ia sudah berlayar selama 59 jam dan 12 minit pada kedalaman 80 hingga 150 meter, lapor agensi itu.
Suruhanjaya Tentera Pusat Parti Pekerja Korea Utara menyifatkan latihan itu sebagai amaran kepada musuh mengenai kemungkinan krisis nuklear sebenar dan mengesahkan kebolehpercayaan pasukan nuklear untuk mempertahankan diri.
(Gambar diedarkan Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA) menunjukkan ujian dron nuklear
dalam air, ‘Haeil’, di Laut Timur (juga dikenali sebagai Laut Jepun)/AFP)
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, yang mengetuai latihan itu, berkata, ia harus menjadi amaran bagi Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan untuk 'menyedari keupayaan tidak terhad Korea Utara untuk menyelaras serangan nuklear dengan pantas'.
Selepas setahun rekod ujian senjata dan ancaman nuklear yang semakin meningkat dari Pyongyang, Seoul dan Washington turut meningkatkan kerjasama keselamatan dengan memulakan latihan ketenteraan bersama terbesar mereka dalam tempoh lima tahun.
Dikenali sebagai Freedom Shield, pelancarannya dilakukan pada 13 Mac lalu, kira-kira seminggu selepas Pyongyang menguji peluru berpandu terbesar dan paling berkuasa, Hwasong-17, ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) kedua tahun ini.
Pelancaran ICBM disifatkan sebagai tindak balas kepada latihan AS-Korea Selatan yang sedang berlangsung.
Korea Utara mengisytiharkan negaranya tidak akan berundur menjadi kuasa nuklear dengan meningkatkan pengeluaran senjata, termasuk senjata nuklear taktikal beserta perkembangan pesat teknologi itu. - AFP