fb fb fb fb fb

Korea Utara disyaki buat persediaan lancar ujian nuklear bulan ini

WASHINGTON, 7 Mei - Korea Utara disyaki sedang membuat persiapan untuk melancarkan ujian nuklear seawal bulan ini, yang pertama sejak 2017.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Jalina Porter berkata, berdasarkan pemantauan dan penilaian yang dibuat, Pyongyang dipercayai sedang menyediakan tapak ujian Punggye-ri bagi tujuan pelancaran.

"Penilaian ini konsisten dengan kenyataan awam DPRK baru-baru ini," katanya kepada pemberita.

Maklumat yang diperoleh telah dikongsi dengan negara-negara sekutu dan rakan kongsi.

"Kami akan terus menyelaras rapat dengan mereka juga", katanya.


(Orang ramai menonton televisyen mengenai siaran berita
ujian peluru berpandu Korea Utara, di Seoul pada 4 Mei/AFP)

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pergi ke Jepun dan Korea Selatan, di mana kebimbangan mengenai Pyongyang dijangka menjadi agenda utama.

Ujian nuklear Korea Utara mungkin bertepatan dengan ucapacara angkat sumpah Presiden baharu Korea Selatan, Yoon Suk-yeol pada Selasa ini.

Yoon sebelum ini berikrar akan mengambil tindakan lebih keras terhadap Pyongyang.

Korea Utara menjalankan enam ujian nuklear sebelum memulakan diplomasi luar biasa berprofil tinggi dengan Amerika Syarikat, dengan bekas presiden Donald Trump bertemu tiga kali dengan pemimpin Kim Jong Un.

Walaupun pengisytiharan Trump bahawa kedua-duanya "jatuh cinta," pertemuan mereka tidak menghasilkan persetujuan untuk merungkai program nuklear Korea Utara.

Pyongyang menunjukkan sedikit minat untuk meneruskan rundingan sejak pemergian Trump.-AFP

Media Baharu