fb fb fb fb fb

Korea Utara dakwa kira-kira 1.4 juta belia sertai tentera

Foto REUTERS

PYONGYANG, 16 Oktober-Kira-kira 1.4 juta belia di Korea Utara termasuk pelajar dan pegawai liga belia, telah memohon untuk menyertai atau kembali ke angkatan tentera negara itu, lapor media rasmi Korea Utara KCNA.

Munurut KCNA lagi, golongan belia berkenaan bertekad untuk berjuang dalam "perang suci memusnahkan musuh dengan senjata revolusi.

Kenyataan itu hadir hanya dua hari ketika ketegangan di Semenanjung Korea semakin memuncak.

Tahun lalu, KCNA membuat tuntutan serupa bahawa rakyatnya secara sukarela menyertai tentera untuk berperang menentang Amerika Syarikat.

Terdahulu, pada Selasa Korea Utara meletupkan beberapa bahagian jalan raya dan landasan kereta api di kawasan sempadan yang menyebabkan tentera Korea Selatan melepaskan tembakan amaran.

Pyongyang turut menuduh Seoul menghantar dron ke ibu kota Pyongyang dan kedua-duanya bertelagah mengenai belon sampah yang dihantar sejak Mei dari Korea Utara.

Pyongyang mendakwa pelancaran tersebut adalah tindak balas kepada belon yang dihantar oleh aktivis antirejim di Korea Selatan.

"Jika perang meletus, Republik Korea Selatan (ROK) akan terhapus dari peta.

"Oleh kerana mereka mahukan perang, kami bersedia untuk menamatkan kewujudan mereka," kata laporan KCNA.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD