fb fb fb fb fb

Korea Utara catat 15 lagi kematian akibat COVID-19

SEOUL, 15 Mei- Korea Utara melaporkan 15 kematian tambahan akibat demam selepas negara itu mengumumkan kes pertama COVID-19 dan mengarahkan penutupan seluruh negara.

Media kerajaan KCNA berkata, seramai 42 orang telah meninggal dunia, dengan 820,620 kes dan sekurang-kurangnya 324,550 dalam rawatan perubatan.

Pemimpin Kim Jong Un berkata wabak itu telah menyebabkan 'pergolakan besar' di Korea Utara.

KCNA melaporkan, semua wilayah, bandar dan daerah di negara itu telah disekat sepenunhnya.

Walaupun mengaktifkan "sistem kuarantin kecemasan maksimum" untuk memperlahankan penyebaran penyakit melalui populasinya yang tidak divaksinasi, Korea Utara kini melaporkan sejumlah besar kes baharu setiap hari.

Korea Utara mengesahkan pada Khamis bahawa varian Omicron yang sangat menular telah dikesan di ibu negara Pyongyang, sehingga Kim mengarahkan penutupan seluruh negara.

Ia merupakan pengakuan rasmi pertama kerajaan bagi kes COVID-19 selain menunjukkan kegagalan sekatan terhadap wabak berkenaan selama dua tahun yang dikekalkan sejak permulaan wabak itu.

Korea Utara mempunyai sistem kesihatan terburuk di dunia, berikutan tiada pemberian vaksin COVID-19 kepada rakyat, bahkan tiada ubat bagi rawatan antivirus atau kapasiti ujian besar-besaran.

(Meskipun kes COVID-19 semakin membimbangkan, Perdana Menteri Korea Utara, Kim Jong Un masih ingin meneruskan ujian nuklear. /AFP)

Negara itu sebelum ini telah menolak tawaran vaksin COVID-19 dari China dan skim Covax Pertubuhan Kesihatan Sedunia, namun Beijing dan Seoul tetap menawarkan bantuan kesihatan dan vaksin.

Laporan KCNA tidak menyatakan sama ada kes baharu dan kematian telah diuji positif untuk COVID-19, tetapi pakar mengatakan negara itu akan bergelut untuk menguji dan mendiagnosis pada skala ini.

Amerika Syarikat dan Korea Selatan telah memberi amaran bahawa Kim sedang bersedia untuk menjalankan satu lagi ujian nuklear yang akan menjadi ujian ketujuh rejim itu dan ia boleh datang pada bila-bila masa.

Penganalisis telah memberi amaran Kim untuk mempercepatkan rancangan ujian nuklearnya dalam usaha untuk mengalih perhatian penduduk Korea Utara daripada wabak COVID-19 yang membawa maut. -AFP

Media Baharu