fb fb fb fb fb

Korea Selatan selar tindakan 'tidak bertanggungjawab' Rusia

Foto hiasan

SEOUL, 29 Mac- Korea Selatan menyelar tindakan Rusia yang 'tidak bertanggungjawab' menyekat pembaharuan panel pakar Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang memantau sekatan antarabangsa ke atas Korea Utara.

Veto itu dilakukan berikutan tuduhan Pyongyang membantu Moscow dalam perangnya di Ukraine.

Korea Selatan "dengan jelas menunjukkan bahawa Persekutuan Rusia, walaupun statusnya sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, telah membuat keputusan yang tidak bertanggungjawab", kata Kementerian Luar Seoul dalam satu kenyataan.

Tindakan itu, yang dibuat beberapa minggu selepas badan itu sedang menyiasat laporan pemindahan senjata antara Pyongyang dan Moscow. Tindakan itu mendapat pelbagai kritikan, termasuk dari Ukraine dan Amerika Syarikat.

Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba menggelar veto itu sebagai "pengakuan bersalah" oleh Rusia, manakala Amerika Syarikat menyifatkan ia sebagai "usaha berkepentingan diri untuk menguburkan laporan panel mengenai pakatan sulit (Moscow) sendiri" dengan Korea Utara.

Veto di Majlis Keselamatan tidak menghapuskan sekatan ke atas Korea Utara, tetapi ia menandakan penamat bagi kumpulan yang memantau pelaksanaannya dan pelbagai dakwaan pelanggaran.

Korea Utara berada bawah sekatan yang dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan PBB sebagai tindak balas kepada program nuklearnya.

Sejak 2019, Rusia dan China telah cuba memujuk Majlis Keselamatan untuk melonggarkan sekatan kerana ia tidak mempunyai tarikh tamat tempoh.

Bagaimanapun China berkecuali daripada menyertai Rusia dalam veto. Semua ahli lain telah mengundi menyokong memperbaharui mandat panel.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI