GAZA, 21 November - Angka korban akibat kezaliman rejim Israel di Gaza, Palestin terus meningkat kepada sekurang-kurangnya 44,056 mangsa.
Peperangan terus berlarutan lebih 13 bulan.
Jumlah itu termasuk 71 kematian baharu yang direkodkan Kementerian Kesihatan Palestin dalam tempoh 24 jam.
104,268 cedera sepanjang peperangan di Semenanjung Gaza, sejak ia bermula pada 7 Oktober 2023.
Terbaharu, puluhan dilaporkan terbunuh diserang tentera Zionis, pada hari Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri negara haram itu, Benjamin Netanyahu.
Pengarah Hospital Kamal Adwan Hossam Abu Safiya memaklumkan, serangan berdekatan fasiliti kesihatan itu mengakibatkan puluhan maut dan hilang.
Satu lagi serangan berlaku di kawasan kejiranan Bandar Gaza, dengan jurucakap pertahanan awam Mahmud Bassal mendedahkan 22 mangsa terkorban.
Israel terus berdegil menolak gencatan senjata dan meneruskan keganasan, meskipun berdepan kritikan antarabangsa yang kian meningkat.