fb fb fb fb fb

Korban awam di Gaza 'terlalu tinggi' - Blinken

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken / Foto AFP

TEL AVIV, 10 Januari - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken memaklumkan bahawa jumlah korban penduduk awam Gaza disebabkan peperangan terhadap Hamas adalah "terlalu tinggi" sekali gus menggesa sekutunya untuk mengurangkan penderitaan mereka.

Lebih tiga bulan dalam perang Gaza yang paling memilukan, Blinken bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Tel Aviv pada pusingan keempat diplomasi krisis di Asia Barat sejak konflik tercetus.

Blinken menegaskan semula pendirian AS "bahawa hak Israel untuk menghalang" pengulangan serangan Hamas yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada 7 Oktober yang mencetuskan perang, kata jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller.

Namun Blinken juga "menekankan kepentingan untuk mengelakkan bahaya awam seterusnya dan melindungi infrastruktur awam di Gaza", kata Miller.

Krisis kemanusiaan semakin meruncing di Gaza dan pegawai kesihatan tempatan melaporkan lebih 23,000 kematian dicatatkan di Wilayah itu.

Blinken kemudiannya bercakap pada sidang akhbar bahawa "korban harian ke atas orang awam di Gaza, khususnya kanak-kanak, adalah terlalu tinggi", dan berkata lebih banyak makanan, air dan ubat-ubatan diperlukan.

Miller berkata untuk jangka panjang, Blinken dalam perbincangannya dengan Netanyahu "mengulangi keperluan untuk memastikan keamanan yang berkekalan dan mampan untuk Israel dan rantau ini, termasuk dengan merealisasikan negara Palestin".

Israel "mesti berhenti mengambil langkah yang melemahkan keupayaan rakyat Palestin untuk mentadbir diri mereka secara berkesan", kata Blinken pada sidang akhbar itu.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN